5 kesalahan ketika mencuci muka

Mencuci muka perkara penting bagi setiap orang tidak kira lelaki atau wanita.

Ia bertujuan untuk memastikan kulit sentiasa berada dalam keadaan bersih dan tidak kering dan bebas daripada masalah jerawat.

Oleh sebab itu mencuci muka adalah disiplin yang harus diutamakan dalam rutin kecantikan.

Ia memang nampak mudah, hanya sekadar mencuci dengan air, sapukan pencuci muka dan bilas, siap!

Namun, tanpa kita sedari sebenarnya kita telah melakukan kesilapan ketika mencuci muka.

1. Mencuci muka dengan tangan yang kotor

Ramai yang mengabaikan amalan ini kerana berpendapat tangan yang dibasahi dengan air sudah cukup bersih.

Tangan kotor yang terus bersentuhan dengan kulit wajah akan memindahkan kuman-kuman terus ke muka kita.

Ini kerana tangan adalah anggota badan yang paling berpontensi terdedah dengan jangkitan kuman.

2. Salah dalam pemilihan produk

Sebelum membeli pencuci muka, anda perlu mengenal pasti jenis kulit terlebih dahulu.

Kulit manusia mempunyai lima kategori jenis kulit iaitu kulit kering, kulit normal, kulit kombinasi, kulit berminyak dan kulit sensitif.

Oleh sebab itu kita perlu memilih pencuci muka yang khusus mengikut jenis kulit.

3. Menggunakan suhu air yang salah

Mitos mengatakan membasuh muka dengan air panas berupaya membuka liang pori dan kemudian membilas muka dengan air sejuk.

Tidak! Sebaliknya air panas akan menyebabkan salur darah dalam kulit berkembang serta menyebabkan tisu lembut pada kulit koyak lebih-lebih bagi kulit sensitif.

Selain itu, ia akan membuang minyak semula jadi yang ada pada kulit wajah dan menyebabkan kulit gatal, kering dan rapuh.

Seeloknya, gunakan air suam atau sejuk untuk mencuci muka.

4. Terlalu kerap mencuci muka

Muka perlu dibersihkan sekurang-kurangnya dua kali sehari. Sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu malam sebelum tidur.

Kebanyakan wanita mencuci muka mereka berkali-kali. Mereka beranggapan bahawa ia dapat membuat muka menjadi lebih bersih.

Salah! Malah, ia membawa kepada kulit yang kering dan iritasi boleh terjadi.

Jangan terlalu kerap membasuh muka kerana minyak semula jadi yang ada pada muka yang membantu melembapkan kulit akan terhakis.

5. Lap muka dengan tuala badan

Berkongsi tuala badan dan muka adalah perkara yang perlu dielakkan.

Walaupun kita beranggapan bahawa badan kita cukup bersih selepas mandi, sebenarnya tidak.

Ada bakteria yang tinggal di kawasan yang berbeza pada tubuh kita dan boleh merebak ke muka.

Seeloknya beli tuala yang berasingan untuk mengelap muka.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]