Biro politik PKR bincang masalah Azmin, Zuraida tak hadir mesyuarat

PETALING JAYA: Ketidakhadiran Timbalan Presiden Azmin Ali dan Naib Presiden Zuraida Kamaruddin antara isu berbangkit dalam mesyuarat biro politik PKR malam tadi, susulan arahan Presiden Anwar Ibrahim untuk mereka hadir mesyuarat parti.

Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, parti sudah memberikan peringatan kepada kedua-dua pemimpin berkenaan dan menegaskan ia ruang terbaik membincangkan isu-isu parti.

“Ruang tersebut memang ada takwim dan jadual mesyuarat sudah diagih dan dihantar kepada semua pimpinan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, malam ini.

Azmin antara beberapa pemimpin PKR yang diketahui tidak hadir ke mesyuarat parti seperti majlis pimpinan pusat (MPP) dan mesyuarat biro politik, dipercayai kerana pergeseran dalaman.

Ia disusuli kenyataan Zuraida yang memaklumkan ketidakhadiran mereka disebabkan Anwar tidak melayan surat kepadanya, meminta satu pertemuan diadakan antara mereka untuk suatu perbincangan.

Untuk rekod, Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi, ketika ini mengiringi perdana menteri dalam lawatan 3 hari Dr Mahathir Mohamad di Rusia.

Fahmi berkata mesyuarat malam tadi tidak membincangkan tindakan yang akan diambil terhadap Azmin dan Zuraida, menjelaskan ia bukan fokus utama mesyuarat.

“Ini hanyalah peringatan am kepada semua pimpinan, bukannya khusus kepada mana-mana pimpinan parti,” katanya.

Pada 25 Ogos, Anwar berkata Azmin tidak kebal daripada tindakan disiplin dan menyerahkan kepada lembaga disiplin parti menyiasat perkara itu.

Anwar berkata, peraturan parti memang mensyaratkan jika seseorang pemimpin parti tidak menghadiri mesyuarat parti sebanyak 3 kali berturut-turut tanpa sebab, maka gugur jawatannya.

Kongres

Sementara itu, Fahmi memaklumkan Anwar memberi jaminan akan hadir dan memberikan amanat di setiap konvensyen negeri yang akan bermula pada Oktober hingga November depan.

“Kongres kebangsaan PKR akan diadakan pada 6 ke 8 Disember depan, konvensyen negeri pula bertemakan “Reformasi Dua Dekad,” katanya.

Mengulas isu membabitkan setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvdor yang dipanggil polis kerana menjadi suspek dalam kes rusuhan di Ampang, Fahmi berkata parti tidak akan melindunginya.

Setakat malam tadi, parti tidak membincangkan sebarang tindakan terhadap Farhash.

“Parti tidak ada buat tanggapan berkenaan kes tersebut, terpulang kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan,” katanya.

“Tetapi jika ada sebarang pendakwaan di mahkamah, maka kita akan ikuti proses dan biarkan proses itu berjalan. Selepas itu, mungkin parti boleh ambil pendirian.”

Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat mengarahkan Farhash segera tampil menyerah diri bagi membantu siasatan kes rusuhan di sebuah kompleks sukan di Taman Dagang Permai pada 13 Ogos lalu, kejadian yang melibatkan lebih kurang 12 ke 14 orang.

Terdahulu, Farhash dalam kenyataan mendakwa laporan polis yang dibuat adalah ke atas adiknya.

“Saya sedia untuk memberi kerjasama sekiranya perlu,” katanya.