Bukan ahli panel penilai sasterawan negara, cuma urusetia jawatankuasa, kata KP DBP

Abang Salehuddin Abang Shokeran.

PETALING JAYA: Ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka hari ini tampil menjelaskan peranannya dalam isu pemilihan sasterawan negara ke-14 yang didakwa dicemari campurtangan politik, mengatakan beliau hanya urusetia jawatankuasa yang dipengerusikan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.

Abang Salehuddin Abang Shokeran menjawab laporan kenyataan penulis cerpen, Malim Ghozali PK yang mendakwa pengumuman media sasterawan negara terpilih “secara sebulat suara” dibuat olehnya pada 28 Mac lepas dan mempersoalkan apakah yang terjadi selepas itu.

Semalam, lebih 5 bulan selepas itu, Kementerian Pendidikan mengumumkan pemilihan Siti Zainon Ismail sebagai sasterawan negara ke-14.

“Pemilihan Siti Zainon bukan dibuat oleh saya selaku ketua pengarah DBP. Keputusan dibuat setelah menteri pendidikan dan ahli panel mengadakan mesyuarat terakhir semalam dan keputusannya diumum menteri selaku pengerusi,” katanya kepada FMT.

Abang Salehuddin berkata DBP tidak pernah membuat pengumuman sasterawan negara yang dipilih pada Mac seperti yang dinyatakan.

“Yang saya katakan pengumuman akhir akan diumumkan oleh menteri pada waktu terdekat,” katanya.

Abang Salehuddin berkata tiada pemilihan “ikut pintu belakang” sebab semua dibuat oleh ahli panel, dan memaklumkan seramai 9 individu tercalon untuk gelaran sasterawan negara ke-14. Beliau mengesahkan Malim antara calon itu.

“Pihak yang tidak puas hati boleh merujuk ahli panel. Pemilihan melibatkan seorang tapi calonnya ramai. Sudah tentu ada pihak berasa tidak puas hati apabila tidak terpilih.”

Abang Salehuddin memaklumkan laporan panel penilai mengenai Siti Zainon akan diumumkan pada hari penyampaian anugerah oleh Agong pada 21 September.