Dadah, senjata api dan gadis diseludup melalui hutan pantai timur

Ladang kelapa sawit di Kelantan dan Terengganu menjadi ‘jalan tikus’ bagi penyeludup barangan dari Thailand. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ladang kelapa sawit berekar-ekar di negeri pantai timur Terengganu dan Kelantan memberi pendapatan kepada petani dan pekebun kecil, tetapi ia juga menyembunyikan rahsia berbahaya: laluan hutan yang dikenali sebagai “jalan tikus” di mana berlakunya penyeludupan.

Menurut satu kajian yang dijalankan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) pada 2016, sebahagian laluan yang melintasi negeri dan sempadan Thailand adalah laluan bawah tanah untuk mengelak sebarang kecurigaan.

Melaluinya, penyeludup memindahkan beras dan diesel bersubsidi sebagai pertukaran bagi komoditi yang berharga seperti dadah, senjata api dan wanita.

“Terdapat banyak wang terlibat,” kata seorang penyelidik yang terlibat dalam kajian tersebut kepada FMT.

Penyeludup boleh mendapatkan komisyen sehingga RM500 bagi setiap wanita. Wanita-wanita ini yang berasal dari Thailand, kemudian dilacurkan di seluruh negara. Selain itu, mereka menjadi “call girl” di kelab malam dengan bayaran RM32 sejam, dengan bayaran tambahan untuk “perkhidmatan tambahan”, kata penyelidik.

Senjata api yang kebanyakannya jenis lama seperti Smith & Wesson atau Glocks, dibeli dengan harga RM300 setiap 1 manakala peluru dijual RM1 sebutir. Senjata itu sendiri sering digunakan dalam rompakan.

Tetapi fokus utama kajian ini adalah dadah, dengan penyelidikan menunjukkan Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri mempunyai penagih tertinggi di negara ini.

Kajian itu menunjukkan ramai belia di negeri tersebut adalah menganggur dan beralih kepada menyeludup beras dan diesel sebagai pertukaran untuk dadah bagi mendapatkan wang dengan cepat.

“Tiada siapa yang mahu heroin,” kata seorang lagi penyelidik. “Dadah yang dicari adalah meth dan syabu.”

Setiap pil itu dijual dengan harga kira-kira RM8 – jauh lebih murah berbanding harga dadah seumpama itu di bandar besar.

Ini kerana pil itu sering dicampur dengan gandum atau bedak talkum. Sebaliknya, pil yang betul-betul asli boleh mencecah RM35 hingga RM45 setiap satu.

Abdul Hamid Bador, yang mengambil alih sebagai ketua polis negara pada Mei, berkata pada Julai masalah dadah negara semakin teruk.

Sekiranya langkah-langkah serius tidak diambil untuk memerangi ancaman itu, katanya, Malaysia boleh menjadi sumber utama narkotik.

“Sekiranya kita tidak bendung sekarang, tidak mustahil kita akan jadi seperti Colombia,” katanya.