Pipi bengkak dan pipi tembam: Jangan terkeliru

Pipi bengkak dan pipi tembam adalah dua keadaan yang berbeza.

Pipi atau masalah bengkak adalah apabila bahagian badan tertentu membesar yang berlaku disebabkan oleh keradangan atau pembentukan cecair.

Pembengkakan boleh berlaku di sendi dan kaki, dan di bahagian badan yang lain seperti muka.

Muka atau pipi bengkak akan menjadikan wajah anda terasa bengkak atau bulat.

Namun, adakah masalah pipi bengkak sesuatu yang berbahaya?

Pipi Bengkak

Keadaan bengkak pada muka anda boleh berlaku tanpa rasa sakit atau disertai simptom seperti bahagian yang bengkak itu menjadi amat sensitif terhadap sentuhan, gatal-gatal mahupun rasa kebas.

Ia mungkin membuatkan anda berasa seperti anda sedang mengalami masalah mulut yang bengkak di bahagian dalam pipi anda.

Masalah pipi yang bengkak sememangnya akan menyebabkan perubahan pada penampilan anda.

Keadaan ini boleh dirujuk sebagai satu petanda kebimbangan kesihatan yang kecil atau satu keadaan kecemasan perubatan yang melibatkan anafilaksis.

Dan paling kronik, masalah bengkak yang dihadapi juga boleh menjadi petunjuk kepada gejala perubatan serius seperti penyakit kanser.

Punca Bengkak

Bengkak pada wajah boleh berlaku berlaku untuk tempoh beberapa jam dan beransur-ansur hilang, atau keadaan ini boleh terjadi secara tiba-tiba.

Pembengkakan ini boleh berlaku disebabkan oleh beberapa punca dan faktor. Antaranya seperti:

1. Preeclampsia

Masalah ini berlaku disebabkan oleh tekanan darah yang tinggi semasa tempoh kehamilan.

Ia sering terjadi sekitar minggu ke-20 kehamilan.

Keadaan ini boleh mengakibatkan pembengkakan secara tiba-tiba pada bahagian muka dan tangan.

Sekiranya keadaan ini berlaku dan tidak dirawat, beberapa komplikasi cenderung untuk berlaku dan boleh menyebabkan kerosakan organ dan kematian kepada ibu dan bayi dalam kandungan.

Jika anda sedang mengandung dan mengalami beberapa keadaan berikut:

  • Bengkak pada bahagian tangan dan muka secara tiba-tiba
  • Penglihatan menjadi kabur
  • Mengalami sakit kepala yang teruk
  • Merasai kesakitan teruk di dalam perut
  • Segera untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan lanjut dari doktor di hospital atau klinik berhampiran anda.

2. Cellulitis

Masalah jangkitan bakteria pada kulit ini biasanya berlaku pada bahagian badan yang lebih bawah seperti kaki, tetapi dalam beberapa keadaan, ia juga boleh berlaku pada bahagian muka yang mengakibatkan pipi bengkak dan membesar.

Keadaan ini berlaku apabila bakteria atau kuman aktif memasuki kulit melalui bahagian yang cedera.

Ia tidak berjangkit tetapi ia boleh mengancam nyawa individu yang mengalami masalah ini sekiranya jangkitan merebak ke saluran darah.

Beberapa simptom lain yang boleh berlaku selain bengkak adalah seperti:

  • Demam
  • Kulit melepuh
  • Jerawat
  • Kulit kemerahan
  • Kulit terasa sedikit panas apabila disentuh.

Masalah ini juga boleh berlaku akibat kerosakan gigi yang dibiarkan tanpa mendapatkan rawatan yang betul dan akan membuatkan wajah anda bengkak atau dirujuk sebagai facial cellulitis.

Ia boleh merebak ke seluruh bahagian muka termasuk mata serta leher yang akan menyebabkan kesukaran untuk membuka mulut, menelan dan bernafas.

Facial cellulitis yang disebabkan kerosakan gigi biasanya bermula kerana bengkak gusi (dental abscess) pada ukuran kecil akibat kerosakan gigi yang tidak dirawat seperti masalah gigi dengan karies (lubang) yang dalam, ataupun tunggul/akar gigi yang tidak dicabut.

3. Anafilaksis

Merupakan satu tindak balas atau reaksi alahan yang boleh mengancam nyawa.

Ketika keadaan ini berlaku, badan anda akan mengalami kejutan, menyebabkan titik udara menjadi sempit dan anda akan mengalami bengkak di sekeliling muka, lidah atau tekak.

Keadaan ini akan menyebabkan pipi bengkak.

Antara simptom anafilaksis lain yang boleh terjadi adalah tekanan darah rendah, denyutan nadi yang lemah atau anda menjadi lemah, pengsan, loya dan mengalami kesukaran untuk bernafas.

Keadaan ini memerlukan rawatan dan pemerhatian yang segera daripada doktor perubatan.

Jadi jika anda mengesyaki diri anda atau individu di sekeliling anda berkemungkinan mengalami masalah anafilaksis, hubungi talian kecemasan dengan segera.

4. Pericoronitis

Keadaan ini merujuk kepada masalah keradangan tisu gusi yang biasanya terjadi pada sekitar bahagian gigi geraham bongsu yang sedang tumbuh.

Antara gejala yang mungkin akan dialami adalah seperti gusi dan pipi bengkak, keluar nanah dan rasa pelik di dalam mulut.

5. Mumps

Keadaan ini berlaku didasari oleh jangkitan virus yang boleh menyebabkan pipi bengkak.

Jangkitan ini akan menjejaskan kelenjar air liur yang menyebabkan bengkak pada satu atau kedua-dua belah bahagian muka. Antara simptom lain yang mungkin akan dialami adalah seperti:

  • Demam
  • Sakit kepala
  • Sakit otot
  • Berasa sakit semasa mengunyah

Terdapat beberapa komplikasi lain yang boleh berlaku disebabkan keadaan ini seperti:

  • Bengkak pada zakar
  • Keradangan tisu otak
  • Meningitis
  • Hilang pendengaran
  • Masalah jantung

6. Hypothyroidism

Hipotiroidisme adalah di mana badan anda tidak dapat menghasilkan hormon tiroid dengan secukupnya.

Ini boleh menyebabkan wajah anda menjadi bengkak.

Terdapat beberapa simptom yang mungkin dialami seperti keletihan, kenaikan berat badan, otot badan menjadi lemah, sendi menjadi kaku dan masalah berkaitan memori.

7. Tumor kelenjar air liur (saliva)

Masalah tumor pada kelenjar air liur juga boleh menyebabkan bengkak pada pipi, mulut, rahang serta leher.

Bahagian sebelah muka anda juga boleh berubah saiz dan bentuk.

Antara simptom lain yang disebabkan masalah tumor ini adalah seperti:

  • Rasa kebas pada bahagian muka
  • Otot muka terasa lemah
  • Masalah menelan

Sesetengah masalah tumor yang berlaku boleh menjadi petunjuk kepada masalah kesihatan lain.

Tumor malignan (malignant tumor) merupakan satu kanser yang boleh mengancam nyawa.

Anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan sekiranya terdapat bengkak pada bahagian pipi yang tidak diketahui puncanya.

Terutama apabila keadaan bengkak itu disertai dengan kebas dan otot muka terasa lemah.

Jadi bagaimana pula dengan pipi yang tembam? Adakah ia juga didasari oleh masalah kesihatan yang perlu dirisaukan?

Pipi Tembam Satu Kelebihan

Pipi bengkak dan pipi tembam atau chubby cheeks adalah dua keadaan yang berbeza.

Jika pipi bengkak didasari oleh masalah kesihatan, pipi tembam merupakan satu keadaan semula jadi yang biasanya dialami oleh ramai individu wanita.

Cantik selalunya didefinisikan dengan badan yang langsing, pipi yang cengkung bersama cheeksbones yang jelas kelihatan.

Namun, hakikatnya cantik adalah sesuatu yang sangat universal. Dan sekiranya anda berpipi tembam, anda harus berbangga dengannya.

Tahukah anda, terdapat beberapa kelebihan buat pemilik pipi tembam yang mungkin tidak anda ketahui.

Melambatkan proses penuaan

Jika anda sering dipanggil oleh teman-teman sebagai muka tembam, berbanggalah.

Ini kerana ciri tembam yang anda miliki ini, iaitu berpipi penuh dan bulat akan membantu anda dengan melambatkan proses penuaaan.

Kesan kedutan pada wajah juga dapat disembunyikan dengan lebih baik berbanding individu dengan raut wajah yang lebih tirus dan cengkung.

Lebih feminin

Melalui kajian yang dilakukan, kebanyakan individu lelaki lebih menggemari individu wanita yang berpipi tembam atau penuh.

Ini kerana mereka berasakan wanita dengan ciri-ciri sebegini adalah lebih comel, menarik dan sangat feminin.

Hebat menyembunyikan emosi

Tahukah anda, individu dengan pipi yang tembam dikatakan sebagai individu yang hebat dan berupaya untuk menyimpan emosi dengan lebih baik.

Semestinya apabila bersedih atau sedang mengalami kedukaan, mahupun sebarang masalah, selalunya keadaan itu akan terpancar diraut wajah.

Tetapi berbeza dengan individu dengan chubby cheeks di mana waja anda akan sentiasa nampak semula jadi tenang dan riang.

Malah mungkin ada yang melihat anda seperti tersenyum walaupun hakikatnya anda tidak tersenyum.

Tetapi, kalau sedang berkerut dahi itu, memang pastinya, individu sekeliling anda akan nampak anda sedang emosi atau moody.

Lebih mudah didekati

Dipercayai bahawa individu dengan chubby cheeks adalah merupakan seorang individu yang lebih mudah untuk didekati.

Sama ada ia adalah satu fakta ataupun mitos, namun dikatakan, individu dengan chubby cheeks adalah dilihat sebagai individu yang ramah dan mesra.

Ini kerana mengikut raut wajah, individu yang berpipi tirus akan tampak lebih garang berbanding individu berpipi tembam, bukan?

Awet muda

Selalunya individu berpipi tembam ini memperolehinya disebabkan oleh genetik atau diturunkan oleh ibu atau ayah yang turut mempunyai raut wajah bulat dan berpipi tembam.

Jadi mungkin anda boleh melihat wajah kedua ibu bapa anda, pastinya mereka kelihatan jauh lebih muda berbanding usia sebenar mereka. Jadi berbanggalah!

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]