Tarikh penguatkuasaan undang-undang e-panggilan tak akan ditunda

PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan tidak akan menunda tarikh penguatkuasaan undang-undang ke atas perkhidmatan e-panggilan memandangkan tempoh 3 bulan yang diberikan untuk pemandu-pemandu berkenaan mendapatkan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) mencukupi.

Menteri Loke Siew Fook berkata selepas 12 Oktober, mana-mana pemandu e-panggilan yang tidak mempunyai lesen PSV tidak lagi dibenarkan mengambil penumpang melalui perkhidmatan aplikasi e-panggilan.

Bercakap pada sidang media di kementerian hari ini, Loke berkata bagi mereka yang belum berbuat demikian, mereka diminta untuk segera mendaftarkan diri menduduki ujian lesen PSV.

“Ada 5 minggu sebelum tarikh penguatkuasaan dimulakan dan kita telah memberi masa mencukupi untuk pemandu e-panggilan memenuhi syarat-syarat yang diberikan dan saya berharap tidak ada apa-apa aduan lagi seperti kata kita tak beri cukup masa dan peringatan,” katanya.

Kementerian tidak meletakkan sebarang sasaran jumlah pemandu yang perlu mendapatkan lesen PSV tetapi setakat ini, jumlah calon yang lulus ujian PSV lebih 55,000 orang yang dianggap pemandu sepenuh masa e-panggilan.

“Sesetengah pengendali e-panggilan mendakwa terdapat seramai lebih 100,00 pemandu e-panggilan ini tapi sebahagian besar dari mereka merupakan yang bekerja separuh masa atau hanya sekadar suka-suka mendaftar dengan perkhidmatan tersebut,” katanya.