Arah pakai kadbod ketika peperiksaan: Kreatif atau langgar hak asasi?

Mungkin ini satu idea baik atau boleh juga dikira kurang cerdik kerana menggunakan cara yang pelik semata-mata mahu pelajarnya tidak meniru ketika ujian.

Kejadian yang berlaku di Mexico ini bagaimanapun dikecam gara-gara kerana mengarahkan pelajarnya di sebuah sekolah tinggi memakai kotak kadbod di kepala mereka.

Alasan yang diberikan guru itu ialah bagi mengehadkan penglihatan mereka sekali gus sukar untuk meniru dalam ujian.

Luis Juárez Texis, pengarah Kampus 01 ‘El Sabinal’ di Kolej Sarjana Muda, di Tlaxcala di Mexico, didakwa memalukan dan melanggar hak asasi pelajar-pelajarnya.

Ia susulan gambar guru tersebut menjaga dewan peperiksaan di mana calon-calon memakai kotak kadbod di kepala mereka, menjadi tular.

Gambar itu menunjukkan sekumpulan pelajar memakai kotak kadbod dengan lubang di bahagian mata hanya membenarkan mereka untuk melihat di hadapan tanpa menoleh kepala mereka.

Ibu bapa pelajar berkongsi gambar tersebut di media sosial dan mengeluarkan kenyataan umum menggesa pihak berkuasa pendidikan di Mexico untuk memecat Texis.

Bagaimanapun netizen tidak mengecam guru berkenaan, sebaliknya mengucapkan syabas kepada guru terbabit kerana mencari cara yang berkesan untuk mengelakkan aktiviti meniru semasa peperiksaan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]