Bos teksi minta penunggang Gojek sedekah wang biaya ke Jakarta pada masjid

Pengasas dan penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail.

PETALING JAYA: Pengasas dan penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail berkata penungang Gojek tidak perlu membiayainya ke Jakarta untuk membuat permohonan maaf secara terbuka seperti yang dituntut sebelum ini.

Beliau berkata permohonan maaf telah dibuat melalui media tempatan dan secara langsung di televisyen Indonesia minggu lepas.

“Saya minta duit itu disedekahkan kepada masjid, surau dan juga orang yang memerlukan. Saya tak perlu (duit itu) dan saya berkemampuan untuk ke Jakarta.

“Perkara ini saya telah selesaikan minggu lepas dan penungang Gojek tidak perlu politikkan isu ini,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, penunggang Gojek dilaporkan mengumpul wang ketika mengadakan demonstrasi di luar Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta untuk membiayai Shamsubahrin ke negara itu bagi memohon maaf secara terbuka.

Lebih 400 penunggang Gojek berhimpun secara aman di luar kedutaan itu bagi membantah kenyataan Shamsubahrin dalam satu video viral di Indonesia baru-baru ini yang dianggap menghina penunggang Gojek dan negara itu.

Pada 28 Ogos lalu, Shamsubahrin memohon maaf dan berkata beliau tidak berniat menghina penunggang Gojek serta Indonesia.

Sementara itu, Shamsubahrin berkata beliau tidak perlu ke Jakarta bagi memohon maaf dan sebaliknya berkata akan menghantar surat secara rasmi ke kedutaan Indonesia di negara ini bagi memohon bertemu dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Beliau berkata pertemuan itu bagi memohon maaf kepada Jokowi dan mahu mendapatkan restu untuk syarikat teksinya beroperasi di Indonesia.