Mahkamah sahkan notis RoS berhubung pemecatan presiden Dewan Perniagaan Melayu

Ahli lembaga eksekutif DPMM di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Dari kiri, (depan) bendahari agung DPMM, Zayad Md Ismail; naib presiden, Abd Halim Husin; timbalan presiden, Fauzi Hassan; naib presiden, Norsyahrin Hamidon dan setiausaha agung, Amirhamzah Karim.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menerima notis Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang mengesahkan pemecatan bekas presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Rizal Faris Mohideen Abdul Kader.

Hakim Mahkamah Tinggi Mariana Yahya menerima notis RoS bertarikh 4 Sept yang menyebut bahawa pemecatan Rizal berkuat kuasa dari 22 Nov tahun lepas berikutan keputusan yang dicapai pada mesyuarat agung luar biasa yang diusulkan oleh 18 anggota dewan perniagaan itu.

Notis itu menyebut, semua keputusan yang dibuat dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan itu selepas itu, yang menyaksikan Rizal mendakwa bahawa beliau kekal sebagai presiden dan keanggotaan 18 individu berkenaan dalam badan itu dan badan negerinya tidak sah dan terbatal, adalah tidak sah.

Notis tersebut juga berkata, AGM berikutnya pada 15 Jun, yang dianjurkan oleh Syed Hussein Alhabshee, yang kemudiannya dilantik sebagai presiden dan apa-apa keputusan yang terhasil daripada AGM ke-2 itu adalah sah.

Syed Hussein dan 17 ahli DPMM memfailkan saman tahun lepas mendakwa Rizal membelanjakan RM5 juta yang diperuntukkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Mereka berkata, wang berkenaan tidak dimasukkan ke dalam akaun badan itu, sebaliknya disalurkan ke akaun Yayasan DPMM Pulau Pinang tanpa kelulusan.

Mereka juga mendakwa, sejumlah RM1 juta dikreditkan ke akaun DPMM daripada sebuah syarikat dikenali sebagai Redberry, dan Rizal memutuskan untuk menggunakan wang tersebut dalam kempen pilihan raya, juga tanpa kelulusan dewan.

Notis RoS menyebut bahawa penyaluran wang RM5 juta ke akaun Yayasan DPMM adalah bercanggah dengan Fasal 29.1 perlembagaan DPMM kerana ia tidak mendapat kelulusan lembaga eksekutif badan berkenaan.

Menurut notis itu lagi, lembaga eksekutif yang dilantik semasa AGM 15 Jun mesti mengurus perkara itu sekarang.

Bercakap kepada pemberita di luar Mahkmah Tinggi. timbalan presiden DPMM Fauzi Hassan berkata, 9 individu daripada kumpulan Rizal, termasuk Rizal sendiri dan bekas setiausaha agung DPMM Don Nazwim Don Najib, bukan lagi anggota dewan perniagaan itu, selaras dengan syor lembaga disiplin badan itu.

Pemecatan itu berkuat kuasa 10 Mei.

“Mereka tidak lagi boleh menjalankan tugas dewan,” katanya, selain menambah bahawa mereka juga tidak boleh mewakili DPMM atau cawangan negerinya.

Peguam mereka, Balan Nair Thamodaran berkata, pertikaian berkenaan siapakah pemegang jawatan DPMM yang sebenar perlu ditamatkan.

“RoS mengeluarkan arahan yang jelas dan sekarang ada perintah daripada mahkamah tentang siapakah pemegang jawatan yang sah,” katanya kepada FMT.

Pada Julai, RoS mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rizal memintanya menjelaskan kenapa pendaftaran dewan itu tidak harus dibatalkan berikutan salah laku yang dilakukan.

“Saya tidak tahu sama ada surat itu dijawab atau tidak,” kata Balan. “Tempoh 30 hari diberikan.

“Selepas tamat tempoh 30 hari, RoS mengeluarkan satu perintah mengikut Seksyen 3A Akta Pertubuhan 1966 untuk mengesahkan beberapa mesyuarat yang dijalankan, justeru mengesahkan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat tersebut.”

Balan berkata, mereka memfailkan satu semakan kehakiman terhadap RoS pada Jun.

Pihaknya memfailkan penghakiman persetujuan di hadapan Mariana pagi ini.

Lembaga eksekutif DPMM kini bertanggungjawab mengurus cawangan dewan itu bagi negeri Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Sabah dan Labuan berikutan penggantungan barisan kepimpinan masing-masing.

DPMM juga berjanji untuk mendapatkan semula semua wang yang didakwa diselewengkan.