Jais dibidas selepas khutbah kutuk umat Islam Syiah diedar

Jais menyediakan satu khutbah menyerang Syiah bagi jemaah Jumaat di Selangor esok.

SHAH ALAM: Pengkritik membidas tindakan terbaru pihak berkuasa menyasarkan minoriti agama menerusi ucapan kebencian selepas masjid di Selangor diarahkan menyampaikan satu khutbah yang menyerang puak Syiah untuk jemaah Jumaat esok.

Khutbah itu yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menjelang peristiwa penting Syiah pada minggu depan, menyifatkan kepercayaan dan amalan Syiah sebagai sesat, jelek, karut dan meloyakan.

Seorang pengkritik lantang pihak berkuasa Islam bagaimanapun berkata, khutbah itu sama dengan ucapan kebencian terhadap minoriti agama.

“Bukan saja khutbah itu penuh dengan kebencian, tetapi juga penipuan dan ketidaktepatan. Mungkin Jais patut belajar mengenai mazhab Syiah daripada sumber utama dan memahami perpecahan Sunni-Syiah hari ini tidak banyak berkaitan perbezaan teologi, tetapi lebih kepada politik,” kata Dr Ahmad Farouk Musa yang mengetuai kumpulan pembaharuan Islam, Islamic Renaissance Front.

Salinan khutbah Jumaat yang dilihat FMT antara lain menggesa umat Islam menjadi “mata dan telinga” pihak berkuasa serta melaporkan sesiapa saja yang mengikuti amalan Syiah.

“Fatwa mengenai Syiah sudah dikeluarkan dan diwartakan di Selangor pada 1989 dan 2013. Justeru, umat Islam tidak ada alasan untuk terpengaruh kepada ajaran Syiah yang memerangkap mangsanya melalui pelbagai cara, termasuk di institusi pengajian tinggi awam dan swasta, syarikat umrah, pusat tuisyen, kelas bimbangan al-Quran, buku kanak-kanak, novel, komik dan lain-lain lagi,” demikian menurut teks khutbah yang diedarkan ke masjid di Selangor.

Khutbah itu disediakan menjelang 10 Muharram pada minggu depan, hari memperingati peristiwa pembunuhan Sayyidina Hussain, cucu Nabi Muhammad yang juga merupakan tokoh penting di kalangan pengikut Syiah.

Syiah yang mempunyai pengikut ramai di Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan dan beberapa kawasan di Arab Saudi, Yaman serta Pakistan, ialah mazhab Islam kedua terbesar.

Dr Ahmad Farouk Musa.

Tetapi, ajarannya dilabelkan sesat oleh pihak berkuasa Malaysia yang pernah menyerbu upacara agama tertutup dihadiri pengikut Syiah.

Fatwa sudah dikeluarkan di kebanyakan negeri yang mengisytiharkan Syiah sebagai sesat, manakala masjid di Selangor sudah bertahun menyelitkan doa mengutuk ajaran itu ketika khutbah Jumaat.

Farouk berkata, mereka yang menyediakan khutbah itu jahil mengenai kuasa politik dalam dunia Islam dan bagaimana naratif konflik Syiah-Sunni yang dicetuskan Arab Saudi selepas revolusi Iran pada 1979 yang menurutnya “menimbulkan ketakutan kepada raja Saudi”.

“Revolusi ini pada dasarnya adalah kejutan kasar terhadap kepimpinan Saudi yang berhujah Islam dan pemerintah beraja yang diwarisi tidak bersesuaian. Jadi, kenapa kita di negara ini menyebarkan kebencian ini terhadap Syiah?” soal Farouk.

Faisal Tehrani.

Novelis lantang, Faisal Tehrani bersetuju dengan berkata pegawai Jais masih “mengikut rentak Saudi”.

“Adakah kita dijajah puak Wahhabi? Saya ingat kita baru meraikan merdeka. Kita perlu siasat perkara ini. Saya bimbang kita tidak bebas seperti didakwa,” kata Faisal yang karyanya diharamkan atas dakwaan mempromosikan Syiah, kepada FMT.

Beliau berkata, khutbah itu turut menghina slogan kesederhanaan Putrajaya yang dipromosikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa.

Katanya, ulama yang diterima Putrajaya tiada masalah berhubung Syiah sebagai umat Islam.

Mereka termasuk ulama Mauritania, Abdullah Bayyah yang merupakan penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa tahun ini.

“Pendiriannya amat jelas. Biar saya petik kenyataan beliau, ‘kita patut cuba bekerjasama dengan Syiah yang tinggal dalam masyarakat kita, atas dasar sama, bekerjasama dalam perkara yang kita persetujui dan elak perkara yang kita tidak setuju.”

Faisal memberi amaran khutbah yang akan disampaikan esok akan menggalakkan tindakan jenayah terhadap pengikut Syiah.

Beliau merujuk kes aktivis Perlis, Amri Che Mat yang hilang selepas beliau dipercayai diculik, dipercayai berkait dengan amalan Syiah.

“Jika khutbah ini membawa kepada stigma serius dan seterusnya satu lagi penculikan, boleh kita salahkan penulis khutbah itu?” soal Faisal.