
SERDANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof Rawa berkata Islam menekankan pembelian barangan halal dan bersih, tetapi tidak mengajar umatnya memilih produk berdasarkan kaum serta agama.
Beliau berkata, ajaran Islam itu tiada kaitan dengan kempen mengutamakan produk Islam yang dicanangkan sesetengah pihak.
“Ia benar, sebagai Muslim bila pergi ke luar negara pun, saya tanya halal atau tidak, saya tidak tanya dia Melayu, Cina atau Islam ke?
“Pergilah ke China, anda tidak boleh jumpa pun orang Melayu, semuanya Cina. Soalan saya ialah ini halal atau tidak (kerana) ada yang Muslim Cina, tapi tidak halal.
“Jadi, apa yang saya katakan ialah penanda arasnya adalah halal kerana ia pemangkin untuk ke peringkat pasaran lebih besar,” katanya selepas Majlis Perasmian Halfest Jakim ke-8 hari ini.
Pada 30 Ogos lalu, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kempen memboikot produk keluaran bukan Bumiputera perlu dihentikan kerana ia tindakan golongan berfikiran cetek yang tidak akan mendatangkan kesan dan hanya mencetuskan kemarahan kaum lain.
Susulan itu, Putrajaya pada Rabu lalu bersetuju kempen memboikot produk bukan Islam sangat tidak wajar dan boleh menjejaskan keharmonian negara.
Kabinet turut menyeru rakyat membeli barangan buatan Malaysia demi kebaikan negara.
Sementara itu, Mujahid berkata, lebih 60 syarikat dan pengeluar produk yang mendapat sijil halal ialah entiti perniagaan multinasional, dengan ada di antaranya dimiliki orang bukan Islam.
Beliau menggesa pengeluar produk Bumiputera yang belum mendapat sijil halal segera berbuat demikian.
“Produk keluaran Malaysia yang mendapat pensijilan halal diakui dapat pergi lebih jauh dan berupaya dipasarkan secara meluas sehingga memasuki pasaran antarabangsa, selain menembusi pasar raya besar.
“Sekiranya produk Malaysia yang halal mendapat akses meluas, ia bukan saja memudahkan pengguna, tetapi produk itu sendiri diyakini dan selamat digunakan.”
Beliau berkata, era Malaysia Baru perlu berkempen untuk memastikan produk bukan saja buatan tempatan, tetapi juga halal.