KKM kesan ubat ‘kurus, cantik’ mengandungi racun berjadual

Produk Skinny Lolita dan Xtreme candy yang dikesan mengandungi racun berjadual ‘sibutramine’ dan ‘tadalafil’. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai tidak membeli atau mengambil 2 produk yang dikesan mengandungi racun berjadual berdasarkan analisa makmal yang dijalankan Health Science Authority (HSA), Singapura.

Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata produk tersebut ialah Skinny Lolita yang dikesan mengandungi “sibutramine” dan Xtreme Candy dikesan mengandungi “tadalafil”.

“Bagi produk Skinny Lolita, semakan mendapati produk tersebut merupakan produk yang tidak berdaftar dengan KKM dan sehingga kini 81 paket produk tersebut dirampas dengan nilai rampasan RM1,620.

“Bagi produk Xtreme Candy pula, setakat ini, tidak ditemui di pasaran di Malaysia. Kedua-dua produk terbabit, tiada maklumat pengilang yang dinyatakan pada label dan bungkusan produk,” katanya dalam satu kenyataan.

Noor Hisham berkata pihaknya akan melakukan pemantauan berterusan terutama melibatkan penjualan produk tersebut secara atas talian.

“KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi sentiasa membuat pemantauan berterusan terhadap penjualan dan pengiklanan produk farmaseutikal yang dijual dalam talian termasuk di platform edagang (e-commerce),” katanya.

Beliau berkata penjualan produk yang tidak berdaftar dengan KKM adalah melanggar Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda di bawah Akta Jualan Dadah 1952, tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000.”