Proton X50 dengan pemanduan sebelah kanan mula diuji di jalan raya

Sejak Proton melancarkan model X70 hasil sentuhan Geely, ura-ura mengenai Proton X50 sudah pun muncul.

Hadir sebagai model SUV kompak untuk mencabar jenama-jenama popular lain dengan harga tidak mencapai RM100,000 membuatkan orang ramai tidak sabar untuk menantikan kemunculannya.

Terbaru, Funtasticko telah berkongsi gambar Proton X50 yang sudah mula diuji atas jalan raya Malaysia.

Lebih menarik, model yang diambil daripada jenama Geely ini tampil dengan pemanduan sebelah kanan sekaligus memberi bayang model ini bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Menurut Facebook The Ajerul, Proton X50 kemungkinan bakal dilancarkan lebih awal daripada yang dijangkakan.

Mula diperkatakan bakal dilancarkan pada Ogos 2020, model ini mungkin bakal dilancar dengan lebih awal dimana para pengguna berpeluang mula menempah seawal Disember ini atau awal tahun hadapan.

Melihat kepada saiznya, model ini bakal bersaing bersama Honda HR-V serta Mazda CX-3.

Sekiranya model ini ditawarkan pada harga dibawah RM100,000 mampukah Proton sekali lagi mencatat rekod Proton X70 menerima jumlah tempahan yang tinggi sehingga hari ini?

Proton pada bulan lalu telah melancarkan dua model iaitu Proton Saga 2019 serta Proton X70 Merdeka Edition.

Sumber: thevocket.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]