Apa maksud garis hitam di perut ibu mengandung?

Menjadi perkara normal apabila seorang wanita mengandung dan mempunyai garisan hitam di bawah perutnya.

Malah garisan itu semakin kelihatan apabila kandungannya itu semakin membesar.

Kebiasaannya garisan hitam atau garisan berwarna gelap menegak dari kawasan bawah pusat hingga ke bahagian kemaluan, ia akan muncul pada usia kehamilan 23 minggu atau trimester kedua.

Banyak mitos yang yang menyatakan jika garisan terlalu jelas maka anda akan mendapat anak lelaki.

Sebenarnya garisan ini memang ada pada setiap orang dan dikenali sebagai linea alba.

Apabila linea alba ini menjadi semakin jelas dan berubah menjadi warna gelap, ia dikenali sebagai linea nigra.

5 perkara penting tentang garis hitam di perut ibu mengandung

1. Bukan penentu jantina bayi dalam kandungan

Orang lama rajin mengaitkan garis hitam di perut ibu hamil ini sebagai cara menentukan jantina bayi dalam kandungan.

Menurut telahan mereka, kalau garisan ini berhenti sampai pusat maksudnya anak dalam kandungan adalah anak perempuan.

Sebaliknya apabila garis hitam tersebut sampai ke atas perut (hingga ke abdomen) maksudnya anak dalam kandungan itu lelaki.

Ada juga bidan-bidan kampung kata perempuan yang ada garisan ketara maksudnya dia akan mudah bersalin nanti.

Walaupun kadangkala ianya tepat, namun sehingga kini tiada fakta saintifik yang dapat mengesahkan kenyataan tersebut.

2. Garis hitam terjadi akibat perubahan hormon

Hampir semua ibu yang mengandungkan anak pertama akan mengalami perubahan pada kulit.

Hormon yang aktif semasa mengandung bukan sahaja berperanan menyokong perkembangan bayi serta penghasilan susu badan, ia juga menyebabkan perubahan fizikal.

Dalam kes ini, hormon estrogen yang hadir merangsang sejenis hormon lain untuk dihasilkan iaitu hormon “melanocyte-stimulating”.

Hormon ini berperanan untuk menghasilkan pigmen pada sel yang mengandungi melanosit dan seterusnya membuatkan kulit kelihatan lebih gelap.

Bukan garisan ini saja yang ketara, malah anda pasti perasan yang terdapat bahagian lain menjadi semakin gelap ketika mengandung seperti leher, pelipat dan kawasan sekitar areola.

Sesetengah wanita sensitif dengan perubahan hormon ini.

Oleh sebab itu, tidak semua wanita akan mendapat perubahan yang ketara pada kulitnya.

3. Mungkin petanda kurang asid folik

Sebuah kajian yang dilaporkan dalam “Journal of Family Medicine and Primary Care” mendapati antara punca munculnya linea nigra ini ada kaitannya dengan kekurangan asid folik dalam tubuh.

Oleh itu, jangan mengabaikan pengambilan vitamin asid folik yang dipreskripsikan oleh doktor.

Selain itu, anda juga boleh menambahkan sumber asid folik dalam diet harian dengan memakan sayuran berdaun hijau serta bijirin penuh.

Asid folik amat penting untuk perkembangan janin, mengelakkan anemia, mencegah kecacatan bayi dalam kandungan, serta menjaga kondisi kulit ibu hamil.

Bilakah garisan hitam ini akan hilang?

Mungkin sesetengah ibu hamil merasakan penampilan mereka kurang menarik dengan kemunculan linea nigra ini.

Namun para ibu tidak perlu risau kerana garisan serta pigmentasi tersebut lazimnya bersifat sementara.

Ia dijangka akan memudar dan hilang beberapa bulan selepas melahirkan bayi.

Bagaimanapun bagi sesetengah wanita, garis hitam ini mungkin tidak akan hilang sepenuhnya.

Cara hilangkan garis hitam pada perut

Linea nigra bukanlah boleh dihilangkan dengan mudah namun garisan tersebut boleh menjadi kurang ketara dengan melakukan beberapa cara.

Anda boleh cuba gel atau krim yang berasaskan sumber semulajadi seperti “cocoa butter” atau gel vitamin E.

Amalan ini bukan sahaja dapat mengurangkan garisan pada perut, malah dapat membantu mengurangkan strech mark pada kulit perut.

Selain itu, banyakkan makan makanan yang kaya dengan folat seperti buah-buahan serta sayuran hijau serta amalkan supplemen asid folik seperti yang disarankan oleh doktor.

Sumber: siraplimau.com

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]