Daftar parti politik jadikan SPR relevan

Cadangan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) agar urusan pendaftaran dan pengurusan parti politik dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat sebagai satu lagi perkembangan reformasi pilihan raya yang amat baik.

Bagaimanapun cadangan ini dilihat tidak disokong Umno. Ini merupakan perbezaan pendapat yang juga amat baik untuk dibincangkan.

Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan Presiden Umno Mohammad Hasan, pendaftaran parti politik sekarang ini dilaksanakan oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), sebuah jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Persoalannya, adakah amalan ini merupakan satu amalan yang baik, terutama dari segi aspek demokrasi dan politik? Bagaimanakah pula amalan di negara demokrasi maju yang lain?

Pertama, antara isu besar yang sering timbul adalah RoS berada di bawah Kementerian Dalam Negeri, yang semestinya bertanggungjawab penuh kepada menteri dalam negeri. Isu pendaftaran PPBM pastinya segar dalam ingatan.

Sebelum pilihan raya umum ke-14, PPBM gagal didaftarkan atas sebab-musabab yang telah dinyatakan. Selepas Pakatan Harapan(PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan, PPBM didaftarkan hampir secara serta-merta. Justeru, timbul keraguan berkenaan integriti RoS di sini.

Jika dilihat amalan terbaik negara demokrasi maju, urusan pendaftaran parti politik terletak di bawah badan pengurus pilihan rayanya. Kanada, Australia, New Zealand dan banyak lagi negara meletakkan tanggungjawab ini di bawah badan pengurus pilihan raya mereka.

Asas perkara ini cukup mudah, iaitu parti politik adalah “aktor” atau pemain dalam pilihan raya. Justeru, wajarlah ia dikawal oleh badan pengurus pilihan raya yang semestinya bebas, adil dan bertanggungjawab.

Peranan badan pengurus pilihan raya

Di Kanada sebagai contoh, urusan pendaftaran parti politik diletakkan di bawah tanggungjawab Election Canada. Parti politik harus menepati peraturan yang ditetapkan bagi membolehkannya didaftarkan dan bertanding dalam pilihan raya.

Antara syarat yang ditetapkan adalah pemakluman maklumat seperti jumlah keahlian, keanggotaan ahli jawatankuasa, nama parti dan lambang parti tersebut.

Selain mendaftar, Election Canada juga mempunyai kuasa untuk membatalkan pendaftaran sesebuah parti.

Antara sebab sebuah parti boleh dibatalkan pendaftarannya adalah gagal menghantar laporan tahunan, gagal menghantar penyata kewangan, tidak mendeklarasi sumbangan yang diterima ataupun parti tidak aktif (tidak meletak calon dalam 3 pilihan raya berturut-turut).

Australian Election Commission (AEC) juga diberi tanggungjawab mendaftar parti politik. Ia turut diberi kuasa untuk membatalkan pendaftaran parti atas kesalahan melanggar undang-undang.

Amalan seperti ini dilaksanakan atas kepercayaan badan pengurus pilihan raya sepatutnya bertanggungjawab ke atas aktor yang terlibat dalam pilihan raya, termasuklah parti politik.

Badan pengurus pilihan raya patut menjadi penentu sama ada mahu membenarkan atau tidak membenarkan sesebuah parti didaftarkan dan bertanding dalam pilihan raya. Apa yang pasti, ia juga semestinya menjadikan parti politik lebih berdisiplin.

Kenyataan Mohammad adalah respons kepada kenyataan media Penegrusi ERC, Ab Rashid Ab Rahman yang berkata, SPR merupakan pengadil dalam pilihan raya, justeru adalah adil jika badan itu menentukan siapakah yang dibenarkan bertanding dalam pilihan raya mengikut undang-undang pendaftaran parti politik atau sebaliknya.

Malah katany, ia adalah lebih adil daripada meletakkan tanggungjawab ini di bawah RoS yang bertanggungjawab kepada menteri dalam negeri.

Selain itu, ia Ini juga menjadi kelegaan kepada RoS yang boleh menumpukan tanggungjawab kepada pertubuhan yang lain.

Jika ia merupakan amalan terbaik di negara maju, maka wajarlah Malaysia turut mengubah amalan sekarang supaya menjadi lebih baik.

Benar, terdapat isu yang wajar diberi perhatian, terutamanya isu keselamatan, seperti pendaftaran parti ekstremis atau parti yang dikaitkan dengan pengganas atau ajaran sesat, namun ini boleh diselesaikan di peringkat pentadbiran kerajaan.

Tanggungjawab mengurus parti politik dilihat lebih relevan diberikan kepada SPR, lebih-lebih lagi jika Akta Pembiayaan Politik yang turut disyorkan diluluskan.

Oleh yang demikian, cadangan ERC wajar diberi pertimbangan oleh semua pihak. Ia merupakan langkah baik dalam penambahbaikan sistem dan undang-undang pilihan raya Malaysia.

Cadangan itu hanya memberikan kuasa kepada SPR berkaitan pendaftaran dan kawalan parti politik berdasarkan undang-undang berkaitan, bukannya mengawal isu politik yang lain.

Semestinya, garis panduan dan undang-undang berkenaan pendaftaran parti politik yang jelas dan komprehensif perlu dibuat terlebih dahulu sebelum ia dapat dilaksanakan.

Selain dapat mendisiplinkan parti politik, cadangan ECR itu juga dilihat mampu menjadikan sistem demokrasi di Malaysia setaraf dengan amalan negara demokrasi maju lain.

Penulis merupakan graduan Sarjana Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, UiTM.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.