Majlis Kawalan Tembakau, PIBG gesa haramkan kemasukan, jualan peranti vape

Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Dr Lekhraj Rampal (tengah, biru) bersama peserta bengkel ‘Vaping Ancam Remaja’ di ibu negara.

KUALA LUMPUR: Peserta bengkel anjuran Majlis Kawalan Tembakau Malaysia hari ini sepakat menyeru kerajaan mengharamkan kemasukan dan jualan peranti vape bagi menghindari kanak-kanak dan remaja sekolah daripada nikotin dan penyalahgunaan dadah.

Presiden Dr Lekhraj Rampal menyuarakan kebimbangan peserta bahawa peranti vape mudah disalahgunakan oleh penjual dadah, dan menambah deria hidu tidak dapat tentukan sama ada cecair vape mengandungi bahan merbahaya atau tidak.

“Siapa boleh jamin tiada orang letakkan dadah dalam peranti ini? Kita tidak tahu. Kita fikir mereka letak cecair perisa sahaja,” katanya di bengkel “Vaping Ancam Remaja” yang disertai lebih 20 wakil persatuan pengguna, Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Lembah Klang dan aktivis di Persatuan Kanser Malaysia hari ini.

Ini merupakan pertemuan pertama kali pihak-pihak berkenaan membincangkan isu “vaping” dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sekolah.

Sementara itu, seorang wakil PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Orkid Desa, Cheras sangat bimbang melihat betapa mudah pelajar-pelajar sekolah mendapatkan peranti vape itu.

Nurizan Ariffin, 52, pernah nampak pelajar-pelajar sekolah memiliki peranti dalam pelbagai bentuk dan warna.

Nurizan Ariffin.

“Ibu bapa tidak akan beli (untuk mereka). Kita tahu benda ini kegunaannya apa,” katanya kepada FMT.

“Ada orang jual kepada anak-anak kita. Ini bahaya,” tambahnya.

Nurizan berkata tindakan yang boleh diambil PIBG adalah terhad kerana ia berlaku di luar sekolah atau selepas sesi persekolahan.

Beliau mencadangkan Kementerian Pendidikan memberi kebenaran kepada PIBG untuk bertindak terhadap kanak-kanak dan remaja berkenaan di luar sekolah atau selepas sesi persekolahan sekiranya mereka masih berpakaian seragam sekolah.

“Kami cuma nak betulkan keadaan, tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku kepada mereka,” katanya.

Wakil Persatuan Pengguna Pulau Pinang, V Subbarow menggesa kerajaan mengikut langkah negara-negara maju mengawal nikotin dan tembakau secara tegas.

“Kita perlu mencegah remaja daripada terlibat dengan nikotin dan penggunaan dadah sebelum kesan buruk pada 5 hingga 10 tahun akan datang,” katanya.

Bengkel ini diadakan beberapa bulan sebelum kerajaan akan membentangkan satu rang undang-undang baru berkaitan kawalan penggunaan rokok elektronik atau vape dan sisha di Parlimen pada akhir tahun ini.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, 90% daripada kandungan cecair vape mengandungi nikotin “yang boleh menyebabkan ketagihan kepada bahan tersebut”.