Maria Chin didakwa buat serangan liar terhadap sistem syariah

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.

PETALING JAYA: Seorang peguam mencabar ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah supaya menjelaskan dakwaan bahawa sistem perundangan syariah mendiskriminasi wanita.

“Sekiranya ahli Parlimen itu bercakap tentang enakmen atau akta syariah, beliau perlu jelaskan kepada umum peruntukan mana yang mendiskriminasi (wanita),” kata Hamid Ismail, seorang peguam jenayah dan syariah.

Beliau berkata, Maria boleh menggunakan kedudukannya sebagai ahli Parlimen untuk meminta Parlimen memansuhkan atau meminda peruntukan yang dikatakan mendiskriminasi itu sekiranya ia dapat dikenal pasti.

Beliau mendakwa Maria membuat kenyataan yang umum dan tidak berasas terhadap sistem perundangan syariah.

“Saya fikir ia sangat tidak adil,” katanya, selain menambah bahawa Maria boleh dilihat cuba memburukkan sistem itu.

Khamis lepas, Maria berkata, beliau kecewa berhubung keputusan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur untuk menjatuhkan hukuman penjara 7 hari ke atas Emilia Hanafi, bekas isteri pengerusi Naza World Group, SM Faisal SM Nasimuddin.

Emilia dan Faisal bercerai pada 2016 dan beliau mempunyai hak penjagaan ke atas 3 anak mereka. Pada Rabu, mahkamah mendapati beliau bersalah melanggar perintah hak lawatan yang dikeluarkannya.

Maria berkata, Emilia menjadualkan semula satu lawatan dan meminta ia digantikan dengan tarikh lain.

Beliau berkata, keputusan itu “memperlihatkan diskriminasi terhadap wanita Islam dalam sistem perundangan Islam yang masih wujud hingga ke hari ini”.

Faisal dilaporkan akan memfailkan prosiding menghina mahkamah terhadap Maria kerana didakwa mencerca mahkamah syariah.

Hamid berkata, hukuman penjara itu seharusnya dihormati kerana mahkamah syariah adalah terikat kepada peruntukan undang-undang apabila membuat sesuatu keputusan.

Katanya, Maria sepatutnya membantu Emilia memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut sekiranya beliau mengambil berat tentangnya.

Beliau berkata, kenyataannya juga merujuk kepada kes bapa yang bercerai yang tidak membayar nafkah penjagaan anak.

Peguam Hamid Ismail.

Hamid meminta Maria menjelaskan peruntukan undang-undang syariah manakah yang dimaksudkannya.

“Saya harap beliau (Maria) dapat membezakan antara perintah mahkamah syariah dengan peruntukan dalam enakmen atau akta syariah,” katanya.

Menurut seorang peguam syariah lain, Nizam Bashir, sesetengah hakim syariah percaya bahawa bahasa yang cermat dan sederhana hendaklah digunakan apabila seseorang mahu mengkritik keputusan mahkamah.

Kritikan yang gagal menepati standard itu boleh dianggap menghina mahkamah, katanya.

“Bagaimanapun, oleh sebab wujudnya makna tersendiri perkataan yang digunakan dalam sistem perundangan syariah berbanding sistem sivil, yang mungkin tidak disedari oleh pihak terlibat, barangkali Maria boleh dimaafkan,” katanya.