Badan pemikir gesa kerajaan haram rokok elektronik

Pusat Galen untuk Kesihatan dan Dasar Awam berkata, kerajaan perlu menguatkuasakan peraturan tegas ke atas penggunaan rokok elektronik sama seperti yang dilaksanakan ke atas rokok biasa.

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir hari ini menggesa Putrajaya mengharamkan terus rokok elektronik daripada pasaran Malaysia berkutan insiden kematian di Amerika yang dikaitkan dengan penggunaannya.

Pusat Galen untuk Kesihatan dan Dasar Awam berkata, kerajaan juga perlu menguatkuasakan peraturan tegas sama seperti yang dilaksanakan ke atas rokok biasa.

Ketua pegawai eksekutifnya, Azrul Mohd Khalib berkata, pegawai kesihatan di AS mengesyorkan supaya orang ramai tidak menghisap rokok elektronik susulan beratus-ratus penggunanya didapati menghidap penyakit paru-paru serius.

Azerul berkata, perkembangan itu, selain insiden kematian berkaitan, seharusnya diterima sebagai bukti kukuh oleh pihak berkuasa bahawa penggunaan rokok elektronik membahayakan paru-paru.

“Sebelum ini, ada pendapat yang mengatakan bahawa terdapat cara lebih sihat untuk menghisap rokok. Hari ini, kita juga mendengar suara yang berkata bahawa menghisap rokok elektronik, vape atau penggunaan peranti pemanas adalah lebih selamat dan lebih sihat.

“Kedua-duanya mengelirukan dan salah. Hakikatnya kedua-dua cara itu membawa risiko kesihatan pada tahap yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan.

Azrul berkata, walaupun kesan menghisap vape atau bentuk rokok elektronik lain masih dikaji dan cuba difahami, namun penggunaan rokok elektronik diketahui boleh menyebabkan gangguan paru-paru seperi paru-paru berair, malah boleh mengakibatkan penyakit paru-paru serius yang berakhir dengan kematian.

Beliau seterusnya berkata, kajian Kementerian Kesihatan ke atas penggunaan rokok elektronik di negara ini menunjukkan “perkembangan yang semakin buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini”.

Katanya laporan itu mendedahkan golongan kanak-kanak juga menjadi sasaran penggunaan rokok elektronik.

Terdahulu hari ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata, kementeriannya akan membentangkan satu rang undang-undang baru berhubung penggunaan tembakau, vape, rokok elektronik dan shisha di Parlimen Mac tahun depan.

Semalam, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa Putrajaya supaya mengharamkan kemasukan dan penjualan peranti vape bagi menghalang penyalahgunaannya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, terutama pelajar sekolah.