Persatuan ragui kemajuan pembinaan, penglibatan Bumi projek Lebuh Raya Pan Borneo

(Gambar Bernama)

KUCHING: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia Sarawak (PKBM) percaya pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo bahagian Sarawak masih tertinggal di belakang jadual, tidak seperti didakwa rakan pelaksana projek (PDP) Lebuh Raya Borneo Utara Bhd (LBU).

Yang Dipertua Abang Aditajaya Abang Alwi meragui hampir separuh daripada fasa pertama jalan bahagian Sarawak telah siap seperti dilaporkan media baru-baru ini bila kerajaan bersetuju menamatkan khidmat LBU.

“Terdapat kelewatan projek itu kira-kira 2%. Sekarang hanya 40% berbanding mengikut jadual 42%. Jadi tidak benar projek itu siap lebih awal dari jadual,” katanya kepada Bernama.

PKBM kini sedang menyiapkan laporan untuk dikemukakan kepada Kementerian Kerja Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai perkara itu.

Abang Aditajaya mahu Kementerian dan SPRM menyiasat jumlah sebenar kontraktor yang terlibat dalam projek lebuh raya bahagian Sarawak oleh kerana bilangan mereka tidak pun sampai kuota 30% sebagai mana didakwa oleh LBU.

“Laporan dari LBU kepada kerajaan yang menyatakan kuota 30% telah dicapai namun amat meragukan setelah kami menerima 28 aduan yang melibatkan lebih kurang 28 konsortium merangkumi lebih daripada 100 syarikat G7 Bumiputera dari seluruh Sarawak.

“Beberapa kontraktor Bumiputera Sarawak yang sudah diberikan Surat Niat (LOI-Letter of Intent)) untuk terbabit dalam pelaksanaan projek itu sejak 2016, tapi sehingga kini mereka masih belum menerima Surat Anugerah (LOA-Letter of Award) daripada kontraktor utama,” kata beliau.

Konsortium-konsortium ini menyatakan pihak kontraktor utama menawarkan bayaran 1% daripada nilai kontrak yang diterima mereka dengan harapan untuk menggunakan nama-nama syarikat ini sebagai proksi dengan kerja-kerja kemudiannya akan terus dilaksanakan mereka bagi mengaburi mata pihak kerajaan,” katanya.

Dilancarkan pada Mac 2015, projek bernilai berbilion ringgit dianggap sebagai projek pembangunan prasarana terbesar dirancang oleh kerajaan Persekutuan di Sarawak dalam tempoh 54 tahun. Lebuh raya bebas tol sepanjang 1,060 km itu akan menjadi nadi utama menghubungkan Sabah dengan Sarawak.