MB: Permohonan injunksi petani halang operasi pembersihan sungai di Cameron Highlands

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencerobohan kawasan tadahan air Kuala Terla adalah penyebab pencemaran teruk sehingga menyebabkan air sungai tidak boleh disalurkan ke loji rawatan air. (Gambar Bernama)

KUANTAN: Usaha membersihkan Sungai Ichat di Cameron Highlands yang tercemar teruk akibat pencerobohan tanah haram telah dijalankan, namun terpaksa dihentikan tidak lama selepas ia dilakukan.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail berkata, antara tindakan yang dilakukan ialah langkah penguatkuasaan yang bermula lewat Februari lepas, melibatkan kerja merobohkan struktur binaan dan tanaman di kawasan terlibat.

Bagaimanapun kata beliau, usaha itu terpaksa dihentikan ekoran tindakan segelintir petani terlibat memfailkan permohonan injunksi terhadap kerajaan negeri berhubung tindakan penguatkuasaan itu pada 3 April lepas.

“Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan yang mengarahkan penangguhan sementara operasi penguatkuasaan yang perlu dipatuhi oleh kerajaan negeri.

“Bagaimanapun kerajaan negeri telah mengemukakan rayuan pada 11 April berhubung perkara itu di mahkamah sama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menjunjung kasih terhadap keprihatinan YDP Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah Shah yang berkenan meninjau tapak pencerobohan pada Sabtu lepas dan menggesa aktiviti itu dihentikan.

Ini kerana, pencerobohan kawasan tadahan air Kuala Terla adalah penyebab pencemaran teruk di Sungai Ichat sehingga menyebabkan air sungai itu tidak boleh disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) Kuala Terla untuk diproses menjadi air terawat.

Keadaan itu menyebabkan LRA Kuala Terla yang berkapasiti antara 780 hingga 800 meter padu sejam bagi menampung 70% keperluan air di Cameron Highlands hanya bergantung kepada Sungai Terla sebagai punca air.

“Bagaimanapun Sungai Terla juga semakin berkurangan sumber airnya menyebabkan LRA Kuala Terla terpaksa memproses air di bawah kapasiti sebenar, iaitu antara 480 hingga 550 meter padu sejam.

“Walaupun perkara ini dinyatakan kepada petani, namun segelintir daripadanya menafikan hakikat dengan menidakkan kepentingan Sungai Ichat sebagai sumber air yang diperlukan untuk menghasilkan air terawat,” katanya.