Mitos tanda lahir biru atau hijau pada bayi bukan disebabkan jin

Ibu dan ayah mesti pernah terlihat tompokan berwarna gelap kebiruan dan kehijauan – terutamanya pada bahagian punggung bayi.

Tompokan ini sebenarnya digelar “Mongolian Spot”, iaitu sejenis pigmentasi kulit yang biasa dijumpai pada bayi berbangsa Asia, termasuklah Malaysia.

Namun, ramai dalam kalangan masyarakat kita yang mempunyai tanggapan yang salah mengenai tompokan ini kerana dikatakan membawa maksud yang tidak elok.

Mitos mongolian spots

Pernah nampak kulit bayi baru lahir ada tompokan atau tanda lahir (birthmark) warna biru kehijauan?

Tompokan ini banyak menimbulkan mitos dalam masyarakat kita, hingga ke hari ini.

Ada yang kata:

  • kulit bayi kotor sebab bayi dah berak kat dalam rahim sebelum lahir
  • tompok kena ludah dengan jin
  • kenan atau mak bayi minat sangat dengan Incredible Hulk masa mengandung
  • bayi kena dera atau terjatuh masa dilahirkan, jadi ada kesan lebam

Namun hakikatnya kesan tompokan biru atau kehijauan yang biasa terjadi pada kulit bayi baru lahir tu namanya “Mongolian Spots”.

Apa itu Mongolian Spots?

Mongolian spots ini paling biasa ditemui pada bayi yang kulitnya agak gelap.

Tompokan ini wujud kerana wujudnya sel sel Melanocytes di lapisan Dermis kulit.

Anatomi: Kulit manusia lapisan paling atas ialah Epidermis. Dalam keadaan biasa, sel Melanocytes ini terletak di lapisan epidermis.

Fungsi sel ini ialah hasilkan pigment melanin, yang mana melanin akan beri warna kulit.

Semasa proses tumbesaran bayi dalam rahim, ada antara sel Melanocytes ini yang tak sampai bergerak ke lapisan Epidermis.

Ia terperangkap di lapisan dermis. Sel ini hasilkan melanin di lapisan dermis ( proses dipanggil Dermal Melanocytosis), yang akan menghasilkan tompokan Mongolian spots ini.

Tak perlu rawatan, akan hilang sendiri

Mongolian spots boleh bersaiz kecil, atau ada yang tompokan besar.

Warnanya biru kehijauan, ianya rata atau flat maknanya tidak timbul.

Ianya tak sakit bila ditekan namun ada yang salah anggap ianya kesan lebam sebab jatuh atau kena dera.

Mongolian spots selalu ditemui di kawasan belakang badan bayi baru lahir, dan juga di kawasan sekitar punggung.

Ianya tak merbahaya, tak menjangkit, tak ada kaitan dengan sebarang penyakit lain.

Ia tidak memerlukan rawatan, jadi tidak perlu sapu sebarang krim.

Mongolian spots akan hilang sendiri apabila bayi membesar masuk umur 4- 6 tahun.

Tompokan yang besar mungkin ambil masa lebih lama untuk hilang.

Sumber : FB Khairul Faizie

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]