PH silap besar jika Kit Siang, Guan Eng ketuai kritik kempen beli produk Muslim, kata Najib

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, lebih banyak pemimpin DAP mengkritik kempen mengutamakan produk orang Islam, semakin ramai orang yang akan menyertainya.

PETALING JAYA: Najib Razak hari ini berkata, Pakatan Harapan (PH) melakukan silap besar jika ia membiarkan pemimpin DAP menjadi pengkritik utama kempen mengutamakan produk keluaran orang Islam yang dimulakan beberapa pihak bulan lepas.

Bekas perdana menteri itu berkata, orang yang paling tidak sesuai untuk menjadi pengkritik kempen itu adalah pimpinan DAP, iaitu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

“Satu ialah orang yang pernah dituduh sebagai orang paling rasis dalam Malaysia oleh perdana menteri ke-4.

“Satu lagi pula mengeluarkan kenyatan awal tahun ini bahawa penyatuan ummah merupakan pengisytiharan perang antara orang Islam dengan bukan Islam” kata Najib merujuk masing-masing kepada Kit Siang yang disifatkan sebagai “paling rasis” oleh Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi perdana menteri sebelum ini, dan Guan Eng yang pernah menyifatkan kerjasama PAS dan Umno sebagai “perisytiharan perang” ke atas orang bukan Islam.

Guan Eng bagaimanapun meminda kenyataan beliau selepas itu.

“Kedua-dua juga adalah dari parti DAP. Nga Kor Meng pula mengelar penyatuan ummah sebagai Taliban,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Terdahulu hari ini, Guan Eng menyelar MCA dan MIC yang menurutnya tidak membantah secara terbuka sokongan yang diberikan oleh PAS dan Umno kepada kempen menggesa orang ramai mengutamakan produk keluaran orang Islam.

Putrajaya sebelum itu menyifatkan kempen tersebut sebagai tidak wajar dan boleh menggugat keharmonian negara.

Najib berkata, lebih banyak kedua pimpinan DAP itu mengkritik kempen tersebut, beliau menjangkakan lebih ramai orang yang akan menyertainya.

Katanya, PH sepatutnya mecari pemimpin lain seperti Nurul Izzah Anwar ataupun ahli Parlimen Subang, Wong Chen sebagai suara kritik dan mempersoalkan kenapa ia perlu menggunakan kedua-dua pimpinan DAP itu.

“Melainkan DAP sengaja nak mempromosikan dan menjayakan kempen ini supaya ia boleh dijadikan isu politik perkauman.

“Supaya mereka ada peluang menjadi hero bagi memulihkan sokongan bukan Muslim terhadap mereka setelah dikecam teruk oleh penyokong mereka dengan isu tulisan khat, Zakir Naik dan Lynas,” katanya.

Kempen mengutamakan produk keluaran orang Islam bermula sebagai inisiatif di laman sosial bulan lepas oleh beberapa individu dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin yang dilihat mempertahankan kempen itu dilaporkan berkata, ia bukanlah kempen memboikot produk bukan Bumiputera, tetapi merupakan usaha menggesa orang Islam supaya membeli produk sesama sendiri untuk membantu ekonomi mereka.

Beliau turut menggesa kaum lain tidak menganggap kempen mengutamakan produk Islam itu sebagai satu permusuhan dengan memberi contoh banyak syarikat yang mengiklankan produk mereka di semua media dan papan tanda.

“Itu bukan bererti satu peperangan kepada syarikat lain. Ia satu usaha syarikat untuk melariskan produk mereka demi pengukuhan ekonomi mereka.

PAS dan Umno menafikan mendalangi kempen tersebut, walaupun menyokongnya sebagai satu inisiatif untuk memperkukuh ekonomi orang Islam.