Polis akan soal siasat Ramasamy, Adun DAP pada 11 Sept kerana didakwa memfitnah

Penceramah warga India Dr Zakir Naik mendakwa P Ramasamy dan 4 individu lain memfitnahnya dan mengapi-apikan ketidakharmonian dan kebencian antara kaum.

PETALING JAYA: Polis akan menyoal siasat Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bagan Dalam, Satees Muniandy pada 11 Sept ini berkait laporan polis yang dibuat terhadap mereka oleh penceramah warga India, Dr Zakir Naik.

Perkara itu disahkan kepada FMT oleh Ramasamy hari ini dengan berkata, polis akan merakam kenyataan beliau pada jam 9 pagi dan Muniandy 11 pagi di bangunan Komtar.

“Rakaman kenyataan itu adalah berkaitan 2 laporan polis yang dibuat terhadap saya dan satu terhadap Satees oleh penceramah warga India Dr Zakir Naik,” katanya dalam satu kenyataan.

Seorang pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman akan menyoal mereka.

Terdahulu Pengarah JSJ Huzir Mohamed berkata, pegawai beliau akan menghubungi 5 individu berkenaan minggu ini bagi membantu siasatan.

Selain Ramasamy dan Muniandy, 3 individu lain ialah Menteri Sumber Manusia M Kula Segaran, bekas duta, Dennis Ignatius dan ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Naik mendakwa 5 individu berkenaan membuat kenyataan fitnah terhadapnya dan mahu polis mengambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan kerana memfitnah dan mengapi-apikan ketidakharmonian dan kebencian antara kaum dalam kalangan rakyat Malaysia.

Naik sebelum itu didakwa menimbulkan keraguan berhubung kesetiaan penganut Hindu di negara ini, selain mempersoal kedudukan orang Cina dalam ceramahnya di Kota Bharu bulan lepas.

Beliau meminta maaf atas salah faham yang timbul berikutan ceramahnya itu, tetapi mendakwa kenyataan beliau dipetik di luar konteks dan “diputarbelitkan”.

Ketika dihubungi, Dennis dan Santiago berkata, mereka belum dihubungi oleh polis berkaitan tarikh soal siasat.

FMT sedang menghubungi Kula Segaran bagi mengesahkan sama ada beliau telah dihubungi oleh polis untuk tujuan sama.