Trump batal rundingan damai saat akhir, Taliban beri amaran keras

Presiden AS, Donald Trump. (Gambar AFP)

KABUL: Keputusan Presiden Donald Trump membatalkan rundingan damai Afghanistan akan membawa lebih banyak kematian rakyat Amerika, tegas Taliban pada Ahad sementara Amerika Syarikat (AS) berjanji untuk mengekalkan tekanan ketenteraan terhadap militan itu di sebalik usaha menjalin kesepakatan bagi mengakhiri perang hampir 20 tahun.

Taliban mengeluarkan kenyataan keras itu selepas Trump tanpa diduga membatalkan rundingan sulit yang dirancang untuk diadakan pada Ahad bersama pemimpin-pemimpin utama Taliban di tempat istirahat presiden di Camp David, Maryland.

Trump membatalkan perundingan pada Sabtu selepas Taliban mengaku bertanggungjawab ke atas serangan di Kabul minggu lepas, yang meragut seorang askar AS dan 11 yang lain.

Zabihullah Mujahid, jurucakap Taliban mengkritik Trump kerana enggan meneruskan perundingan dan berkata pasukan AS menumbangkan Afghanistan dengan serangan pada masa yang sama.

“Ini akan membawa lebih banyak kerugian kepada AS,” kata beliau.

“Kredibiliti AS akan terjejas, pendirian anti-keamanan akan didedahkan kepada dunia, kehilangan nyawa dan aset akan meningkat.”

Di Washington, Setiausaha Negara Mike Pompeo memberitahu rundingan damai di Afghanistan ditangguhkan dan Washington tidak akan mengurangkan sokongan ketenteraan AS untuk Afghanistan sehingga yakin bahawa Taliban dapat memenuhi komitmen secara signifikan.

Washington memanggil balik utusan khas AS ke Afghanistan Zalmay Khalilzad, kata Pompeo semasa muncul dalam program berita Sunday TV, Ahad.

Trump sudah lama mahu mengakhiri penglibatan AS di Afghanistan, sejak ketika menjadi calon pemilihan presiden dan diplomat Amerika berbincang dengan wakil Taliban selama berbulan-bulan tentang rancangan menarik ribuan tentera AS sebagai pertukaran jaminan keselamatan yang ditawarkan Taliban.

Perunding AS dan Taliban mencapai draf perjanjian damai minggu lalu yang mungkin membawa kepada pengunduran tentera Amerika.

Kini ada 14,000 askar AS dan beribu-ribu tentera negara NATO yang lain di Afghanistan, 18 tahun selepas pencerobohan oleh pakatan diketuai oleh Washington susulan peristiwa 11 September 2001.