Banduan hukuman mati dalam video rayuan boleh terlepas tali gantung, kata peguam

Tangkap layar satu klip video menunjukkan B Anand Nambiar merayu orang ramai membantunya untuk terlepas daripada tali gantung.

PETALING JAYA: Hukuman mati seorang banduan yang merayu bantuan orang ramai menerusi satu klip video dari penjara baru-baru ini mungkin boleh diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup, kata seorang peguam.

Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar berkata, B Anand Nambiar boleh memfailkan semakan di Mahkamah Persekutuan atau semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi atas alasan menahannya dalam kurungan bersendirian ialah hukuman berat.

“Beliau boleh memfailkan usul di Mahkamah Persekutuan (dengan alasan) menahannya untuk jangka panjang bagi menunggu hukuman mati adalah hukuman berat dan luar biasa,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, FMT menyiarkan klip video rayuan Anand, 36, yang bertegas dia tidak bersalah atas kematian Heng Pang Kiat pada 21 Februari 2002 di Kluang, Johor, kira-kira 2 dekad lalu.

Anand yang ditahan di Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan didakwa bersama 3 individu lain di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Keempat-empat tertuduh itu dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. Mereka turut dihukum penjara 20 tahun atas cubaan membunuh rakan Heng, Chong Chiew Nam. Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan itu pada 2015.

Syed Iskandar berkata, Anand juga boleh memfailkan semakan kehakiman dan memohon perintah mandamus untuk mengarahkan kerajaan menggantikan hukuman mati kepada hukuman penjara.

Katanya, peguam dari Majlis Peguam Kelantan boleh membantu Anand memfailkan semakan kehakiman.

Beliau merujuk kes warga Nigeria, Michael Philip Spears yang terlepas tali gantung selepas Lembaga Pengampunan pada 2017 meringankan hukuman matinya kepada humuman penjara seumur hidup.

Spears yang menghabiskan 20 tahun di penjara – 16 tahun daripadanya dalam kurungan bersendirian – didapati bersalah kerana membunuh.

Kerajaan tidak mencabar saman itu di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada 2016 mengarahkan aduan warga Nigeria itu didengar di depan hakim Mahkamah Tinggi.

Peguam Spears, Azreen Ahmad Rastom ketika itu memberitahu FMT, Jabatan Penjara memaklumkan Lembaga Pengampunan menggantikan hukuman mati anak guamnya kepada hukuman penjara seumur hidup.

Warga Nigeria itu menerusi saman yang difailkan terhadap kerajaan berhujah tindakan menahannya untuk jangka panjang dan penangguhan dalam menjatuhkan hukuman mati ke atasnya adalah hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan dan memalukan.

Hakim Mahkamah Rayuan ketika itu, Varghese George dalam penghakiman 19 muka surat, berkata Spears tidak boleh dinafikan hak perlembagaan walaupun dia berdepan hukuman mati.