CAP beri amaran ‘jualan murah’ pemaju hartanah Malaysia di Hong Kong

Warga Hong Kong menggemari Pulau Pinang kerana makanan, pendidikan dan kemudahan perubatan yang ditawarkan.

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) memberi amaran tindakan pemaju tempatan menarik pelabur Hong Kong membeli hartanah di Malaysia berikutan krisis politik di pulau itu boleh menyebabkan harga rumah di luar jangkauan rakyat biasa.

“Menggalakkan rakyat asing memiliki hartanah di sini memberikan kesan yang tidak diinginkan seperti menyebabkan harga hartanah meningkat disebabkan oleh permintaan, memburukkan lagi kekurangan tanah semasa dan menyebabkan peningkatan kos sara hidup,” kata Presiden CAP Mohideen Abdul Kader.

Beliau berkata harga hartanah minimum yang ditetapkan kepada rakyat di Pulau Pinang, Selangor dan Johor tidak akan menghalang mereka memiliki rumah di negara ini.

Di Selangor dan Johor, harga yang ditetapkan ialah RM2 juta ke atas bagi unit kediaman. Di Pulau Pinang, rakyat asing tidak dibenarkan membeli rumah bertanah kurang daripada RM3 juta dan unit bertingkat kurang daripada RM1 juta.

Mohideen berkata harga itu masih mampu untuk rakyat asing terutamanya Hong Kong, di mana harga purata rumah lebih daripada AS$1.2 juta, menurut laporan hartanah global yang dikeluarkan tahun ini.

“Bagi mereka yang memiliki dolar AS dan Singapura, RM3 juta kita bersamaan AS$718,787 atau S$995,405. Dengan RM3 juta, rakyat Hong Kong mampu membeli sebuah banglo mewah seluas 2,000 kaki persegi di Tanjung Bungah dan hampir 11 kali saiz rumah kecil Hong Kong bersaiz 178 kaki persegi,” katanya dalam satu kenyataan.

Bulan lalu, FMT melaporkan semakin ramai pembeli hartanah yang kaya dari Hong Kong melihat Malaysia sebagai destinasi rumah ke-2 mereka sewaktu wilayah pentadbiran istimewa China itu bergelut dengan protes meluas sejak 3 bulan lalu.

Laporan itu berkata banyak ejen dan pemaju perumahan Malaysia kini bekerjasama dengan ejen di Hong Kong bagi mendapatkan data pembeli.

“Dalam jangka 1 hingga 2 bulan ini, banyak pemaju dijangka pergi ke Hong Kong untuk menjual hartanah Malaysia,” kata Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) cawangan Pulau Pinang, Toh Chin Leong.

Mohideen berkata langkah itu boleh menjadikan Pulau Pinang “satu lagi Hong Kong” di mana penduduk miskin terpaksa hidup di kawasan setinggan dan flat kecil.

“Adakah kita sedang mengadakan ‘jualan murah’?” soal beliau.

Beliau berkata Putrajaya mengubah seluruh dasar perumahan yang tidak memberikan manfaat kepada kumpulan berpendapatan rendah dan membolehkan pemaju mengaut keuntungan dalam menyediakan perumahan kos rendah.

“Adakah hartanah yang tidak terjual pada masa kini disebabkan oleh pemaju terlebih yakin mengenai pasaran perumahan tanpa melihat realiti ekonomi dan ketidakmampuan pembeli rumah yang berpotensi untuk mendapatkan pinjaman bank?”

Mohideen menambah apabila George Town diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 2008, harga rumah di pusat bandar itu yang dibeli rakyat Singapura sebelum perang meningkat melangkaui kemampuan kebanyakan penduduk tempatan untuk menyewa atau membeli.