Jack Ma berundur dari Alibaba di usia 55

(Gambar AFP)

SHANGHAI: Pengerusi Alibaba Group, Jack Ma berundur daripada syarikat China itu hari ini, menyerahkan tanggungjawab berat mengemudi gergasi AS$460 billion kepada pengganti pilihannya ketika pasaran e-perdagangan yang menjadi perniagaan terasnya menjadi perlahan.

Ketika Ma, 55, menarik perhatian pada majlis perpisahan yang diadakan di stadium Pusat Sukan Olimpik Hangzhou yang mampu memuatkan 80,000 orang dengan iringan muzik dan persembahan selebriti, hadirin berharap akan dapat sedikit maklumat mengenai bagaimana Alibaba akan diuruskan bawah penggantinya, Daniel Zhang.

Bekerja sebagai seorang akauntan, Zhang jelas berbeza dengan Ma yang menjadi usahawan China paling terkenal kerana gaya rangginya dan kepimpinan berkarisma, sejak bekas guru bahasa Inggeris itu mengasaskan syarikat itu 20 tahun lalu dari sebuah pangsapuri kecil di Hangzhou.

“Dia mempunyai logik dan kemahiran pemikiran kritis seperti sebuah komputer, komitmen pada wawasannya, berani menerima model perniagaan yang inovatif dan industri masa depan,” kata Ma mengenai Zhang pada 2018 dalam ucapannya mengumumkan pelantikannya.

Salah satu cabaran utama Zhang adalah mencari bidang baru untuk pertumbuhan syarikat ketika sektor e-perdagangan China menjadi matang, kata penganalisis.

Minggu lepas, Alibaba mengumumkan pelaburan AS$2.7 bilion dalam platform runcit barangan mewah, Kaola, dan sebuah firma penstriman muzik, langkah yang menunjukkan keanjalannya dalam mengamalkan strategi-strategi baru.