Jawi jadi elemen penting evolusi bahasa Melayu, kata aktivis

Penyampaian yang lemah daripada KPM berhubung pengenalan jawi di sekolah sebelum ini menimbulkan pertikaian beberapa pihak. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang aktivis kebudayaan berkata pengajaran jawi merupakan elemen penting dalam evolusi bahasa Melayu.

Pengasas Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional Malaysia (Pusaka) Eddin Khoo berkata masyarakat masa kini perlu terbuka untuk mempelajari jawi kerana pengajaran masa kini dianggap terlalu teknikal.

“(Masa ini), tak ada aspek sastera, aspek sejarah dan budaya. Jadi apabila kita mengajar jawi kita tahu macam mana penulisan bahasa Melayu dan peralihan daripada jawi.

“Saya sangat sokong, tetapi bagaimana pengajaran jawi ini disampaikan kepada orang ramai?” katanya ketika diwawancara FMT baru-baru ini.

Pusaka adalah pertubuhan kebudayaan yang berusaha mendokumentasi dan menghidupkan kembali seni persembahan dan tradisi kebudayaan tempatan serta serantau.

Sebelum ini, Dong Zong dan Jiao Zong membantah pengenalan seni khat dalam silibus bahasa Melayu Tahun 4 bagi semua sekolah, termasuk sekolah vernakular mulai tahun depan.

Mereka melancarkan petisyen terhadap pengenalan seni khat yang turut disokong kumpulan pendidikan Tamil berdasarkan “penyelidikan beberapa cendekiawan dan pakar kesusasteraan” yang menunjukkan seni khat digunakan sebagai medium untuk menyebarkan Islam.

Pengasas Pusaka, Eddin Khoo.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad kemudian melabelkan kumpulan pendidikan Cina itu sebagai rasis.

Mengulas lanjut, Eddin berkata penyampaian yang lemah daripada Kementerian Pendidikan menimbulkan pertikaian beberapa pihak sebelum ini.

Eddin yang juga pengerusi Pasukan Petugas Dasar Unified Examination Certificate (PPDUEC) berkata beberapa pihak termasuk Dong Zong tersinggung dengan cadangan kementerian itu.

“Salah KPM sebab penyampaian kepada orang ramai teruk dan sangat keliru. Dia (KPM) pun tak faham khat itu apa, jawi itu apa. Sekarang sudah jadi khat jawi.

“Sebenarnya kita tak boleh ajar khat kalau tak tahu huruf jawi.

“Khat itu adalah bentuk kesenian huruf jawi. Jadi macam mana kita boleh buat khat kalau kita tak tahu huruf jawi. Kalau nak (belajar) titik dengan tarik tak perlulah buang masa, nak belajar tentang seni pun buang masa,” katanya.

Eddin juga berkata isu khat jawi ini menunjukkan betapa kerasnya politik indentiti di negara ini.

Beliau berkata antara kesannya, setiap masyarakat menganggap sesuatu yang berlaku itu memangsakan mereka dan ini satu tahap psikologi yang sangat bahaya.

“Orang India, misalnya nak boikot sekolah dan sebagainya. Apahal sebenarnya? Sebab nak Islamkan?

“Ini adalah masalah banyak orang memberi balasan (kenyataan) dengan tidak ada pengetahuan. Tetapi semua orang ada pendapat,” katanya.