Kampung Rohingya diroboh, diganti kemudahan kerajaan

Institut Dasar Strategik Australia satelit, menganggarkan sekurang-kurangnya 40% perkampungan Rohingya yang rosak dalam keganasan pada 2017, kini dirobohkan sepenuhnya. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Semua perkampungan Rohingya Islam di Myanmar diroboh dan digantikan berek polis, bangunan kerajaan serta kem penempatan pelarian, lapor BBC.

Badan penyiaran Britain itu dalam satu lawatan kerajaan mendapati 4 lokasi kini dijadikan kemudahan keselamatan, tetapi imej satelit menunjukkan ia dahulunya penempatan etnik Rohingya.

Bagaimanapun, pegawai kerajaan menafikan bangunan dibina atas perkampungan Rohingya di negeri Rakhine.

Lebih 700,000 orang Rohingya melarikan diri dari Myanmar dalam operasi ketenteraan pada 2017.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menyifatkan ia sebagai “pembersihan etnik besar-besaran”.

Tetapi, Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha terus menafikan tenteranya melakukan pembunuhan beramai-ramai dan berkata ia sedia mengambil balik sebahagian pelarian itu.

Bagaimanapun cubaan kedua pada bulan lalu untuk memulakan pengambilan pelarian Rohingya gagal kerana tiada seorang pun daripada 3,450 individu yang diluluskan Myanmar bersetuju kembali ke negara itu.

Mereka mendakwa kurang akauntabiliti atas pembunuhan pada 2017 dan ketidakpastian sama ada mereka akan dapat bergerak dengan bebas atau diberikan kewarganegaraan.

Myanmar menyalahkan Bangladesh dan berkata, ia sedia menerima sejumlah besar pelarian Rohingya. Untuk membuktikannya, mereka mempelawa wartawan, termasuk BBC bagi melihat kemudahan mereka.

Akses ke Rakhine biasanya dilarang dan wartawan BBC yang bersama konvoi kerajaan, tidak dibenarkan merakam atau mewawancara penduduk tanpa pengawasan polis.

Mereka dapat melihat dengan jelas bukti ‘menghapuskan’ etnik Rohingya secara perlahan-lahan.

Institut Dasar Strategik Australia yang menganalisis imej satelit, menganggarkan sekurang-kurangnya 40% perkampungan Rohingya yang rosak dalam keganasan pada 2017, sudah dirobohkan sepenuhnya.