Kumpulan ejen pelancongan puji kerajaan turunkan caj PSC

GEORGE TOWN: Sebuah kumpulan ejen pelancongan memuji keputusan kerajaan menurunkan caj perkhidmatan penumpang (PSC) sebanyak RM23 bagi penerbangan di luar Asean dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan lapangan terbang lain di negara ini, yang disifatkan langkah ke arah betul.

Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta), Tan Kok Liang berkata tidak adil penumpang membayar RM73 bagi lapangan terbang lain yang tidak dapat menandingi kemudahan disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tan mengulas kenyataan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) baru-baru ini yang berkata, caj PSC lebih rendah tidak adil kepada syarikat penerbangan dan penumpang yang berlepas dari KLIA.

IATA mewakili kira-kira 290 syarikat penerbangan di dunia atau 82% trafik udara secara keseluruhan.

Naib Presiden rantau Asia Pasifiknya, Conrad Clifford pada Isnin dilaporkan berkata, terminal utama KLIA tidak dapat menyaingi lapangan terbang lain disebabkan caj PSC lebih tinggi.

Beliau turut menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai penghinaan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia yang bertanggungjawab menetapkan caj lapangan terbang.

“Jika niatnya untuk mengimbangi kenaikan caj akibat levi pelepasan yang diperkenalkan pada 1 September lalu, cara lebih jelas dan mudah ialah menghapuskan levi pelepasan,” kata Clifford dalam satu kenyataan.

Hari ini, Tan menyifatkan kenyataan IATA tidak rasional.

“Kami menyokong penuh keputusan mengurangkan PSC kerana kemudahan di lapangan terbang itu tidak setanding piawaian KLIA, lapangan terbang premium kita.

“Nasib baik kerajaan berpandangan jauh untuk mengenakan caj secara munasabah bagi perkhidmatan dan menunjukkan cara betul dengan menyemak kadar PSC.”

Pada 30 Ogos lalu, Putrajaya mengumumkan kadar PSC dikurangkan RM23 daripada RM73 kepada RM50 bagi semua lapangan terbang, kecuali KLIA yang berkuatkuasa 1 Oktober ini.

PSC bagi penerbangan ke destinasi Asean kekal pada RM35 dan RM11 bagi penerbangan domestik.

Caj yang dibayar penumpang di klia2 bagi destinasi luar Asean meningkat 2 kali ganda sejak 2016 daripada RM32 kepada RM50 mulai 1 Januari 2017 dan RM73 sejak 1 Januari 2018.