Malaysia-Turki tingkat dagangan kepada AS$5 bilion dalam 5 tahun

Dr Mahathir Mohamad bersama Recep Tayyip Erdogan dalam sidang media sempena lawatan rasmi perdana menteri ke Turki pada Julai lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Malaysia dan Turki berusaha meluaskan hubungan perdagangan dalam bidang seperti pertahanan, teknologi, elektronik, makanan dan perkhidmatan bagi meningkatkan perdagangan dua hala daripada AS$2.38 bilion kepada AS$5 bilion (AS$1=RM4.17) dalam 5 tahun akan datang.

Duta Besar Turki ke Malaysia, Merve Kavakci berkata negaranya tidak sabar dengan pertemuan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden, Recep Tayyip Erdogan pada perhimpunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-74 di New York akhir bulan ini.

“Kami juga berharap Presiden Erdogan akan melakukan lawatan balas ke Malaysia untuk menandatangani beberapa perjanjian dan bidang kerjasama yang kami kenal pasti bukanlah hanya dalam sektor pertahanan.

“Turki dan Malaysia mungkin bekerjasama dalam bidang pembangunan teknologi untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat kedua-dua negara, serta makanan dan perkhidmatan dan elektronik,” katanya pada sesi perbincangan perdagangan Turki anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia hari ini.

Kavakci berkata, kerjasama dua hala itu boleh menjadikan Turki sebagai pintu masuk ke benua Asia, Eropah dan Afrika, manakala Malaysia menjadi pintu masuk Turki di timur, Timur Jauh dan Asean yang mempunyai 650 juta penduduk.

“Kami mahu memasuki pasaran Asean melalui kerjasama dalam sektor automotif, elektronik, makanan dan kewangan. Kami mendapati Malaysia merupakan pusat pengeluaran makanan halal dan kewangan Islam, dan berharap untuk belajar daripadanya.”

Ditanya sama ada kerjasama itu akan melibatkan Malaysia membeli jet baru buatan Turki, beliau berkata: “Kami melihat insentif atau kedudukan sama-sama menang menerusi produk teknologi sehinggalah pemindahan teknologi dan mewujudkan pekerjaan.”

Turki juga merancang untuk melihat perdagangan barter dengan Malaysia bagi membantu mengurangkan inventori minyak sawitnya, selain pembelian komoditi lain.

Sementara itu, taklimat setengah hari bertemakan “Memperkukuh Perkongsian Perdagangan dan Peluang Pelaburan” merupakan siri dialog untuk melibatkan dan mempromosi perdagangan dua hala serta hubungan pelaburan antara Malaysia dan negara perdagangan lain yang dihadiri usahawan, pemikir strategik, ketua pegawai eksekutif korporat, duta besar serta pemimpin muda.