Mavcom denda Malaysia Airports, AirAsia lebih RM1.5 juta

Mavcom mengenakan penalti RM200,000 masing-masing kepada AirAsia dan AirAsia X. (Gambar Reuters)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) mengenakan penalti lebih RM1.57 juta kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang), AirAsia dan AirAsia X.

Mavcom berkata, MA Sepang – anak syarikat Malaysia Airports Holdings Berhad yang mengendalikan operasi di KLIA dan klia2, gagal memenuhi sasaran bagi elemen kualiti perkhidmatan pada suku pertama tahun ini.

Katanya, AirAsia dan AirAsia X pula didenda kerana mengenakan caj bagi kad kredit, debit serta yuran pemprosesan perbankan dalam talian, selain tambang asas.

“Mavcom mendapati MA Sepang gagal memenuhi beberapa keperluan di dalam Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang bagi Januari hingga Mac 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Menurut Seksyen 98A(3)(b) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, suruhanjaya diberi kuasa untuk mengenakan jumlah penalti tidak melebihi 5% perolehan tahunan MA Sepang.

“Setelah mengambil kira representasi bertulis daripada MA Sepang serta faktor dan sebab yang dikemukakan MA Sepang untuk mengurangkan kuantum penalti kewangan tersebut, suruhanjaya mengenakan penalti RM1,179,889 pada MA Sepang.”

Sementara itu, Mavcom berkata, AirAsia dan AirAsia X melanggar subperenggan 3(2) Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 (MACPC) yang mewajibkan syarikat penerbangan memaparkan sepenuhnya harga muktamad tambang penerbangan.

Badan bebas itu berkata, mengikut Seksyen 69 (4) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 dan perenggan 22 MACPC, syarikat penerbangan boleh didenda tidak lebih RM200,000 dan 10 kali daripada penalti pertama untuk kesalahan berikutnya.

“Setelah penilaian menyeluruh dan mengambil kira representasi bertulis kedua-dua syarikat penerbangan tersebut, suruhanjaya mengenakan penalti RM200,000 terhadap AirAsia dan AirAsia X bagi ketidakpatuhan pertama kepada subperenggan 3(2) MACPC mulai 1 Jun 2019 hingga 9 Ogos 2019.”

Pengerusi Eksekutif Mavcom, Nungsari Ahmad Radhi berkata mengambil kira lebih 100 juta pengguna di lapangan terbang Malaysia setahun, ia menetapkan MACPC dan Rangka Kerja Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang yang direka khas untuk melindungi hak serta kepentingan pengguna penerbangan bagi meningkatkan tahap perkhidmatan dalam industri penerbangan negara.