Menteri pengangkutan elak terbabit pertikaian AirAsia, Mavcom

Loke Siew Fook enggan mengulas pertikaian antara ketua pegawai eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd dan Mavcom.

KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menjauhkan diri dari pertikaian antara ketua pegawai eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) selepas Tony Fernandes membidas badan bebas itu gagal dalam sektor penerbangan negara.

“Itu pendapat AirAsia, saya tiada komen,” kata Loke ringkas selepas merasmikan Minggu Maritim Sedunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Fernandes memberi 7 sebab untuk menyokong dakwaannya yang Mavcom gagal dalam sektor penerbangan negara, termasuk memperkenalkan dasar birokrasi.

Katanya, Mavcom gagal menjalankan tugas dengan adil dan berkesan, serta tugasnya boleh diambil alih badan lain termasuk Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.

Mavcom ditubuhkan pada 1 Mac 2016 di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 untuk mengawal selia urusan ekonomi dan perdagangan berkaitan penerbangan awam di negara ini.

ECRL

Sementara itu, Loke bertegas projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sudah dikaji semula untuk memastikan kosnya lebih rendah dan dapat memanfaatkan semua negeri berkaitan.

“Kami sudah mengkaji semula ECRL. Kosnya dipotong dan komitmen sudah ada, perjanjian sudah ditandatangani.

“Keseluruhan pendekatan itu bertujuan memaksimumkan ECRL bagi manfaat semua negeri di utara.”

Baru-baru ini, Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mengkaji semula projek tersebut susulan dakwaan seorang saksi dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak yang ECRL dicadangkan untuk menyelamatkan syarikat yang dibelenggu hutang itu.

Bagaimanapun, Loke berkata, beliau tidak tahu mengenai komen Anwar berhubung perkara itu.