Saya tak tahu jika Jho Low tipu Najib, kata saksi

Amhari Efendi Nazaruddin ialah saksi pendakwaan ke-8 dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak.

PETALING JAYA: Bekas pembantu Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, beliau tidak tahu jika ahli perniagaan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low memperdayakan Najib Razak dalam urusan 1MDB.

Amhari Efendi Nazaruddin yang merupakan pegawai khas Najib dari 2008 hingga tahun lalu, berkata beliau tidak tahu jika Jho Low memperdaya bekas majikannya kerana perkara itu tidak pernah terlintas dalam fikirannya.

Saksi pendakwaan ke-8 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam pasukan pembela, Muhammad Shafee Abdullah pada hari ke-6 perbicaraan.

Shafee: Adakah terlintas di fikiran anda, Low yang juga seorang yang diburu dan dikehendaki beberapa negara, turut memberi gambaran salah dirinya kepada pihak lain dalam isu 1MDB.

Bagaimanapun, Amhari tidak menjawab soalan itu.

Terdahulu, mahkamah diberitahu Low memberi gambaran salah beliau ialah penasihat kepada pemerintah negeri sebelum Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) dinamakan 1MDB dan penasihat khas kepada pengerusi lembaga penasihat 1MDB, Najib.

Shafee: Adakah terlintas di fikiran anda yang Najib diperdaya Low?

Amhari: Saya tidak tahu kerana saya tidak fikir mengenainya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Gopal Sri Ram membantah soalan itu yang menyatakan hanya Najib boleh menjawabnya jika beliau dipanggil membela diri.

Bagaimanapun, hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan soalan itu.

Amhari memberi keterangan terhadap Najib yang berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa membabitkan dana 1MDB yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapat rasuah RM2.28 bilion pada Februari 2011 hingga Disember 2014.

Beliau turut dikatakan memindahkan RM2.28 bilion dana haram ke akaun banknya dan kemudian menggunakan wang itu.

Amhari turut menolak cadangan Shafee mengenai percanggahan maklumat dalam kenyataan saksinya kerana beliau menipu dalam mahkamah untuk membabitkan Najib dan Low dalam semua jenayah 1MDB.

Shafee turut merujuk 3 perenggan dalam kenyataan itu, Amhari dan Ketua Setiausaha Sulit Najib, Azlin Alias sentiasa mengesahkan arahan Low dengan majikan mereka, tetapi kadangkala beliau tidak berbuat demikian.

Peguam itu turut mendakwa Amhari bekerjasama dengan Low dan itu sebabnya ahli perniagaan itu memberi AS$1 juta kepadanya.

Amhari bagaimanapun menafikannya.

Terdahulu, Amhari memberi keterangan dalam pemeriksaan utama yang Low akan menemui beliau dan Azlin secara sulit di Hotel Prince, Kuala Lumpur untuk melaksanakan arahan 1MDB daripada Najib dan Low.

Shafee berkata, tidak masuk akal untuk Low menemui 2 pegawai Najib itu secara sulit kerana perjumpaan sedemikian boleh diadakan di rumah Najib di Jalan Langgak Duta.

Peguam itu mencadangkan Low menemui mereka di hotel untuk mendapat perhatian mereka yang merupakan modus operandi penipu.

Amhari bagaimanapun tidak bersetuju dengan Shafee.

Beliau turut menolak satu lagi cadangan Shafee yang beliau memadam komunikasinya dengan Low dalam telefon bimbit untuk menutup hubungan sebenar mereka.

Perbicaraan diteruskan di depan Sequerah.