Sejauh mana keberkesanan parkir khas wanita tidak diceroboh lelaki?

Pelbagai kesedaran dibuat banyak pihak bagi mengurangkan kes gangguan seksual dan rogol yang menjadikan wanita sebagai mangsa.

Antaranya, menyediakan parkir khas untuk golongan wanita berseorangan di pusat membeli belah serta menyediakan “coach” khas untuk wanita sahaja bagi pengangkutan awam seperti LRT, MRT dan Monorail.

Namun, kesedaran ini bukan semua lelaki patuhi kerana kurangnya kesedaran sivik dalam diri.

Mereka akan menggunakan keistimewaan golongan wanita ini demi kepentingan dan kemudahan mereka.

Pada golongan lelaki seperti ini, wanita-wanita di luar tidak mempunyai kaitan dengannya, sebab itu mereka tidak menghiraukan kelebihan yang diberi kepada golongan wanita yang selau ditindas.

Namun, perkara ini akan difikir kembali apabila terdapat kes yang berlaku kepada anak perempuannya.

Tapi perlukah sehingga timbul kes yang tidak diingini, barulah golongan lelaki akan mematuhi peraturan yang ditetapkan?

Seorang wanita yang hanya mahu digelar Amira memberitahu parkir khas wanita sangat bermakna buat dirinya yang mempunyai anak kecil berumur tiga tahun ketika mengunjungi pusat beli-belah di Lembah Klang.

Katanya, beliau merasa selamat kerana dipantau oleh pengawal keselamatan serta tidak perlu tergopoh-gapah memasukkan anaknya di dalam kereta.

Bagaimanapun, dia juga pernah berhadapan dengan lelaki yang pentingkan diri tetap melanggar keistimewaan yang diberi kepada wanita.

“Kereta saya pernah dipancit yang saya rasa kerja golongan lelaki kerana sebelum itu saya pernah menegurnya tidak boleh meletak keretanya di parkir khas wanita,” katanya kepada FMT.

Dalam hal ini, sejauh mana penguatkuasaan dari pihak kawalan keselamatan, dan apa pula tindakan kepada golongan lelaki ini yang begitu mementingkan diri apabila menindas golongan wanita tentang keistimewaannya?

Adakah wanita akan terus ditindas?

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]