Akhbar Turki dedah kata-kata terakhir wartawan Saudi Khashoggi sebelum dibunuh

Jamal Khashoggi hilang selepas beliau memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober 2018. (Gambar AFP)

ANKARA: Akhbar Turki, Daily Sabah pada Selasa mendedahkan rakaman audio kata-kata terakhir wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi yang dibunuh pada Oktober tahun lalu di Konsulat Saudi di Istanbul, lapor agensi berita China, Xinhua.

Rakaman yang diperolehi Pertubuhan Risikan Kebangsaan Turki sejurus selepas pembunuhan itu, turut dikongsi bersama pihak berkuasa negara berkenaan yang menyiasat kes berkenaan.

Rakaman itu termasuk perbualan antara pembunuh Khashoggi sebelum mangsa tiba di konsulat, yang membincangkan rancangan membunuh dan mengerat mayat wartawan Saudi itu.

Menurut transkrip rakaman itu, selepas Khashoggi tiba di konsulat untuk prosedur perkahwinannya, Maher Mutreb, seorang pembunuh Saudi memberitahu Khashoggi yang beliau akan dibawa pulang ke Riyadh atas arahan Interpol.

Menurut laporan itu, pasukan pembunuh terbabit juga cuba memaksa Khashoggi menghantar mesej kepada anaknya untuk memintanya tidak bimbang jika beliau tidak mendapat sebarang khabar berita daripadanya, tetapi ia ditolak mangsa.

“Bantu kami supaya kami boleh bantu anda. Kerana akhirnya, kami akan bawa anda ke Arab Saudi dan jika anda tidak bantu kami, anda tahu apa yang akan berlaku pada akhirnya,” menurut Mutreb dalam rakaman audio itu.

Menurut laporan itu, Khashoggi yang bekerja sebagai kolumnis Washington Post, tidak sedarkan diri selepas diberikan ubat.

Riyadh mendakwa Mutreb dan 10 lagi tertuduh dalam perbicaraan tertutup atas pembabitan mereka dalam pembunuhan Khashoggi.