Fatwa anti-Syiah: Antara kebenaran dan kebebasan beragama

Di awal bulan Muharram ini, kita dikejutkan dengan penangkapan pengikut Syiah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Penangkapan ini melibatkan rakyat Malaysia dan warganegara asing yang menetap di Malaysia yang terdiri daripada dewasa dan malangnya juga melibatkan kanak-kanak.

Penangkapan ini adalah atas dasar penetapan fatwa Jais dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) seperti mana yang ditegaskan oleh menteri besar Selangor. Menurut laporan media, penangkapan warganegara asing yang memegang pasport Iran juga ditahan dan didakwa.

Tidak terhad kepada penangkapan dan penahanan, Jais juga menyediakan khutbah jumaat yang dibaca di seluruh masjid di Selangor, khutbah anti-Syiah yang menyeru umat Islam di negara ini memerangi pengikut Syiah dengan melaporkan kecurigaan “kesyiahan” jiran-jiran mereka kepada pihak berkuasa.

Saya ingin mengajak pembaca untuk kembali kepada 2011 ketika tercetusnya perang di Syria dan bagaimana fenomena “jihad” dalam kalangan umat Islam di Malaysia, yang malangnya menyebabkan ratusan jika tidak ribuan umat Melayu Islam Malaysia menyertai kumpulan pengganas IS yang membunuh mereka tidak berdosa di Syria dan di Iraq. Ketika itu, kempen anti-Syiah diinstitusikan oleh jabatan dan parti politik kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) yang melibatkan ustaz-ustaz, mufti-mufti malah penjawat awam bagi menggerakkan kempen anti-Syiah untuk menyokong “pejuang Mujahidin” yang memerangi kerajaan Syria dipimpin oleh Bashar Al-Assad, yang dikatakan seorang Syiah yang membunuh orang-orang Sunni di Syria.

Kempen ini menggambarkan dengan persepsi dan fitnah Syiah itu sesat, kafir, dan orang-orang Syiah ingin membunuh orang-orang bermazhab Sunni. Setelah 8 tahun berlalu, kita dapat melihat kempen ini membawa malapetaka kepada Syria dan Malaysia itu sendiri di mana ribuan rakyat Malaysia menyertai kumpulan pengganas IS yang membunuh beratus ribu rakyat Syria yang terdiri pelbagai agama dan latar belakang tidak kira Islam dan Kristian, menjadi mangsa korban kepada pengganas IS dan kemudiannya pengganas ini menjadi ancaman kepada negara kita sendiri. Malangnya, sumbangan kempen anti-Syiah yang diinstitusikan ini, digerakkan di negara kita menyumbang kepada rekrutmen kumpulan pengganas IS. Setelah pentadbiran kerajaan bertukar, dengan harapan ia akan menamatkan “institutionalized terrorism” di negara kita, tetapi malangnya ini tidak berlaku malah ia menjadi lebih buruk lagi.

Memetik laporan media, Timbalan Pengarah Jais, Azlinda Azman berkata penangkapan “penganut” Syiah dibuat kerana Syiah dianggap ajaran sesat dan bercanggah dengan Islam. Ini kerana Azlinda menyatakan Syiah menolak ijmak ulama dan Islam bukan syarat wajib untuk mengerjakan haji.

Mengejutkan dan mengecewakan

Saya ingin mengajak pembaca untuk merenung sejenak dan menggunakan kapasiti intelektual untuk mengupas kenyataan itu. Negara republik Islam Iran yang 90% umat Islamnya bermazhab Syiah, menjadikan sistem majlis syura ulama sebagai hierarki teratas dalam pentadbiran negara mengatasi Parlimen. Majlis syura ulama ini terdiri daripada ratusan ulama yang dilantik mewakili setiap daerah di Iran. Setiap keputusan Parlimen hendaklah ditapis dan persetujui oleh majlis syura ulama ini dan ini dinamakan ijma ulama (konsensus ulama). Amat mengejutkan dan mengecewakan apabila Jais menjustifikasikan penindasan terhadap kebebasan beragama di negara ini. Keduanya, jika betul Syiah itu menolak ijma ulama, konsep ijma ulama bukan terdiri daripada rukun Islam itu sendiri di mana mazhab fiqh dalam kumpulan Ahli Sunnah Wal Jamaah itu sendiri berbeza pendapat mengenai “ijma ulama” ini.
Tetapi, jika ya rukun wajib Islam terdiri daripada ijma ulama, sudah ada penetapan terhadap mazhab Syiah ini oleh ijma ulama seluruh dunia yang terdiri daripada pelbagai mazhab Islam, di mana mazhab Jaafariah dan Zaidiah (Syiah) adalah sebahagian daripada mazhab-mazhab Islam.

Penetapan ini sudah ditetapkan ribuan tahun dahulu dan yang terkini pada 2004 melalui Mesej Amman (Amman Message) di Jordan di mana Tun Abdullah Badawi, ketika itu perdana menteri, adalah salah seorang yang menandatangani penetapan tersebut. Juga, Universiti Al Azhar, pusat sumber rujukan terbesar Ahlul Sunnah Wal Jamaah mengeluarkan fatwa oleh Sheikh Mahmud Shaltut pada 1959 bahawa Syiah Jaafariah adalah cabang kedua mazhab dalam Islam. Dalam hal ini, seperti yang dikatakan oleh Azlinda Azman bahawa Syiah itu sesat kerana menolak ijma ulama, bagaimana dengan Jais itu sendiri yang menolak ijma ulama mengenai penetapan mazhab Syiah? Mengikut takrifan beliau sendiri, adakah Jais sesat?

Perkembangan terbaru ini juga mengakibatkan keretakan dalam hubungan diplomatik kita dengan negara-negara Islam yang bermajoriti mazhab Syiah seperti Iran. Dilaporkan perdana menteri kita akan melawat Tehran tidak lama lagi bagi lawatan kerja dan diplomatik bagi membincang isu sejagat yang melibatkan umat Islam seluruh dunia dan isu Palestin khasnya.

Sudah ada desas-desus lawatan ini mungkin dibatalkan atau terjejas akibat tindakan Jais dan kerajaan negeri Selangor. Ini adalah perbuatan sabotaj di pihak kerajaan negeri Selangor terhadap kerajaan persekutuan dan perdana menteri. Saya mengesyorkan agar Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil pandangan serius terhadap tindakan kerajaan negeri Selangor itu dan menghentikan “institutionalised terrorism” ini.

Perbuatan ini tidak ada tempat di negara kita yang mengamalkan kebebasan beragama, toleransi dan keamanan sejagat. Saya tegaskan, perbuatan ini tidak ada tempat di dalam negara kita yang tercinta ini.

Syed Ahmad Faiz adalah pembaca FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.