Golongan miskin masih perlukan skim sewa PPR, kata pakar

Kerajaan bercadang menjenamakan semula Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada Projek Perumahan Malaysia (PPM).

PETALING JAYA: Seorang pakar hartanah menyeru Putrajaya tidak menghentikan skim sewa perumahan kos rendah kerajaan susulan laporan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang boleh disewakan akan digantikan dengan unit yang akan dijual dengan harga berkali ganda unit PPR.

Ernest Cheong berkata skim sewa PPR masih menjadi pilihan terbaik untuk memastikan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah. Beliau juga memberi amaran mengenai bebanan kewangan yang lebih besar ke atas golongan B40.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow baru-baru ini berkata beliau menerima surat daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin yang mengatakan unit PPR akan dihentikan dan digantikan dengan skim baru yang dipanggil Projek Perumahan Malaysia (PPM).

Di bawah PPM, unit akan dijual antara RM90,000 hingga RM300,000.

Ini berbeza dengan unit PPR yang biasanya dijual dengan harga RM35,000 di Semenanjung dan RM42,000 di Sabah dan Sarawak, dan juga boleh disewa dengan hanya RM124 sebulan.

Cheong berkata pilihan untuk menyewa perlu disediakan. Beliau juga memberi amaran ada kalangan penyewa tidak mampu membayar pinjaman perumahan yang boleh mengambil masa beberapa dekad untuk dibayar.

Sekurang-kurangnya, katanya, PPM akan menelan kos RM90,000 yang mana lebih 2 kali ganda harga PPR.

“Ini adalah masa yang sukar. Kita harus menyelamatkan golongan miskin, tidak meletakkan mereka di bawah tekanan.

“Biarkan PPR kekal. Jika mereka perlu disubsidi, mari kita lakukannya,” katanya.

Kerajaan pada masa ini membelanjakan kira-kira RM150,000 subsidi bagi setiap unit PPR yang boleh dijual atau disewa kepada mereka yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Denison Jayasooria, ahli akademik dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang mengkaji tentang kemiskinan selama 25 tahun, bersetuju skim sewa masih diperlukan untuk golongan miskin, terutama di kawasan bandar.

Bagaimanapun, beliau berkata skim sedemikian mesti dipantau dan hanya perlu dibuat secara jangka pendek.

“Selepas 5 tahun, kita sepatutnya dapat membelinya,” katanya, sambil menambah orang ramai biasanya menjaga rumah itu dengan baik jika ia di bawah pemilikan mereka.

Beliau juga memberi contoh Lembaga Perumahan dan Pembangunan Singapura (HDB) sebagai model untuk ditiru Malaysia.

HDB membangunkan unit perumahan awam dan menjualnya dengan pajakan 99 tahun. Sesetengah unit disediakan untuk disewa oleh golongan miskin.

Menurut laporan, sehingga 2015, kira-kira 82% daripada 3.9 juta penduduk Singapura tinggal di unit HDB.

Ahli Parlimen Klang DAP, Charles Santiago berkata mereka dari kelas menengah juga bergelut untuk membayar hartanah berharga RM300,000, yang merupakan had yang dijangka untuk unit PPM.

“Mereka (kerajaan) tidak mengutamakan mereka yang memerlukan bantuan (dengan menghentikan PPR),” katanya.

“Semua dasar perlu diteliti oleh pihak berkepentingan yang berbeza terlebih dahulu.”