Lelaki tetak ketua polis Besut diarah jalani pemeriksaan mental

Tertuduh yang didakwa menetak ketua polis Besut diarah menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai di Johor Bahru. (Gambar Bernama)

BESUT: Tertuduh yang didakwa menetak Ketua Polis Daerah Besut Mohd Zamri Mohd Rowi hari ini diperintah oleh Mahkamah Sesyen untuk menjalani pemeriksaan mental.

Hakim Wan Azimah Yaacob membuat keputusan tersebut ke atas Mohd Nasli Mohd Nasir, 33, dan mengarahkannya berbuat demikian dalam tempoh sebulan bermula hari ini di Hospital Permai di Johor Bahru.

Kes hari ini merupakan sebutan kali pertama di mahkamah tersebut setelah dipindahkan dari Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu.

Pada 22 Ogos lepas, Nasli yang bekerja sendiri, mengaku tidak bersalah mencederakan Zamri dengan cara menetak menggunakan sebilah parang yang mengakibatkan kecederaan parah hingga terputus ibu jari kanan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di depan sebuah rumah di Taman Cordoba Residence, Padang Luas, Jerteh, Besut, kira-kira 12.30 tengah hari, 15 Ogos lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Ketika prosiding, peguam yang mewakili Nasli, Ahmad Fairuz Jusoh memohon mahkamah mempertimbangkan rayuannya untuk menghantar tertuduh menjalani pemeriksaan mental berikutan rekod perubatan tertuduh yang pernah dirawat di Klinik Psikiatri dan Mental Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, pada 2012.

Bagaimanapun, katanya, Mohd Nasli tidak menjalani rawatan lanjut. Mahkamah turut menetapkan 10 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zafirah Rosli.