Liga Arab kecam dasar PM Israel menjelang pilihan raya, dakwa terus ‘ceroboh’

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu. (Gambar AFP)

KAHERAH: Menteri-menteri luar Arab mengutuk rancangan terbaru Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mahu memperluaskan penempatan di Tebing Barat yang diduduki sebagai satu “pencerobohan”, sekali gus bimbang akan menggugat proses damai dengan Palestin.

Pada Selasa Netanyahu berkata beliau bercadang untuk memperluaskan penguasaan di kawasan Lembah Jordan, sebuah kawasan di Tebing Barat yang diduduki, jika beliau memenangi pilihan raya sengit yang akan diadakan dalam seminggu lagi.

Israel menawan Tebing Barat dalam perang 1967 dan Palestin, yang menandatangani perjanjian damai interim dengan Israel pada 1990-an, termasuk kerjasama keselamatan, mahu menjadikan ia sebahagian daripada wilayahnya kelak.

Liga Arab “menganggap pengumumannya (perdana menteri Israel) sebagai satu perkembangan bahaya dan pencerobohan baru Israel dengan mengisytiharkan niat untuk melanggar undang-undang antarabangsa,” kata menteri luar Arab dalam kenyataan dikeluarkan selepas pertemuan di sini pada Selasa.

“Liga (Arab) menyifatkan kenyataan ini akan melemahkan kemungkinan sebarang kemajuan dalam proses damai dan akan menggugat segala asas,” kata kenyataan itu.
Menteri-menteri luar Arab telah mengadakan pertemuan di sini dan turut mengadakan sesi tambahan selepas Netanyahu mengumumkan dasarnya menerusi siaran langsung televisyen.

Sekitar 65,000 penduduk Palestin dan 11,000 peneroka Israel tinggal di Lembah Jordan dan kawasan utara Laut Mati, menurut kumpulan hak asasi manusia Israel B’Tselem.

Dalam pada itu, Menteri Luar Jordan Ayman Safadi menerusi Twitter menyifatkan rancangan Netanyahu sebagai satu “perkembangan serius”. Jordan dan Mesir adalah satu-satunya negara Arab yang mempunyai perjanjian damai dengan Israel.

Hanan Ashrawi, seorang pegawai kanan Pertubuhan Pembebasan Palestin, menulis di Twitter, pemimpin Israel itu mahu mewujudkan “Israel yang lebih besar dalam sejarah Palestin dan (membawa) agenda pembersihan etnik.”

Bertarung meneruskan riwayat politiknya selepas pilihan raya tidak dapat diselesaikan pada April lalu, Netanyahu berikrar untuk memperluaskan semua penempatan Israel di Tebing Barat.

Penasihat kanan White House, Jared Kushner, berkata awal Mei lalu beliau berharap Israel akan melihat lebih ke dapan berhubung cadangan damai yang dikemukakan Presiden Donald Trump sebelum “meneruskan sebarang pelan” untuk menggantikan penempatan Tebing Barat.

Arab Saudi mengutuk pengumuman Netanyahu itu dan menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam mengadakan mesyuarat tergempar, kata agensi berita SPA.

Qatar mengulangi sokongannya terhadap penyelesaian damai kedua-dua Israel dan Palestin.

Pada April lalu, Israel merampas ribuan hektar tanah persendirian Palestin dan mengasingkan lima kampung di bahagian timur laut Tebing Barat yang dijajah rejim Zionis itu.

Rejim Zionis meneruskan rancangan mereka dengan dasar merampas tanah serta pembinaan penempatan haram yang jelas mencabul undang-undang antarabangsa dan resolusi Maj­lis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).