PH Johor sudah bawa haluan masing-masing, kata bekas pengerusi PKR

Hassan Abdul Karim.

PETALING JAYA: Bekas pengerusi PKR Johor, Hassan Abdul Karim hari ini mendedahkan kerjasama Pakatan Harapan Johor tidak lagi sekuat sewaktu gabungan itu cuba menumbangkan Barisan Nasional negeri.

Hassan mendakwa selepas PH Johor berjaya menguasai negeri itu, salah satu nusa teras Melayu yang menjadi kubu kuat BN, empat parti komponennya yang terdiri daripada PKR, PPBM, DAP dan Amanah tidak lagi mengadakan mesyuarat dan konvensyen bersama.

“Masing-masing bawa hal masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu membuat teguran terbuka ini kerana menyayangi PH memandangkan dia antara mereka yang menubuhkan gabungan itu di Johor.

Beliau berkata kerjasama antara komponen membolehkan PH menumbangkan kerajaan BN dan memenangi 18 daripada 26 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lepas.

PH membentuk kerajaan negeri selepas merampas 39 daripada 55 kerusi DUN Johor.

PH Johor dipengerusikan oleh Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin.