Tiada laporan warga China diberi MyKad, kata SPRM

Latheefa Koya (kanan) ditemani Pengarah SPRM Sabah, Sazali Salbi pada sidang media di Kota Kinabalu hari ini.

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan warga China diberikan MyKad.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya bagaimanapun berkata agensi antirasuah itu boleh memulakan siasatannya sendiri jika ia menerima maklumat boleh dipercayai berhubung perkara berkenaan.

“Kes MyKad dan kad pengenalan palsu (dijual) bukan perkara baru. Jika ada sindiket sedemikian, kami tentu akan memulakan siasatan,” katanya kepada wartawan di sini, hari ini.

“Kita sebenarnya boleh bertindak tanpa laporan rasmi, tetapi buat masa ini, kami belum terima aduan atau sebarang maklumat, hanya daripada laporan berita.”

Hari ini, Harian Metro melaporkan beberapa pegawai kerajaan berpangkat tinggi ditahan dalam operasi khas pada minggu lalu bagi membantu siasatan berhubung kegiatan menjual MyKad kepada warga China di Pulau Pinang.

Akhbar itu melaporkan polis turut menahan beberapa individu dalam satu operasi sulit kerana disyaki terbabit dalam penjualan MyKad berjumlah RM350,000 kepada warga asing.

Sumber dipetik akhbar itu berkata, sindiket terbabit terbongkar susulan laporan Jabatan Imigresen Pulau Pinang berhubung seorang wanita China berusia 25 hingga 30 tahun yang mahu membuat pasport Malaysia menggunakan MyKad sah.

Pada 9 September lalu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis terhadap beberapa pemilik akaun media sosial yang menyebarkan maklumat palsu berhubung pemberian MyKad kepada warga China untuk membolehkan mereka tinggal di negara ini.

Media dimaklumkan, kes pemberian 5 MyKad itu tiada kaitan dengan JPN kerana ia berpunca daripada sindiket penipuan, manakala seorang lagi wanita China diberikan MyKad kerana beliau berkahwin dengan warganegara Malaysia hampir 20 tahun.

Ketua Pengarah JPN, Ruslin Jusoh berkata, wanita itu yang memiliki status Penduduk Tetap dan kad pengenalan merah, diberikan taraf kewarganegaraan Malaysia pada September 2017 mengikut Perkara 15 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai pasukan petugas SPRM mengkaji kes yang memerlukan tindakan punitif susulan pendedahan dalam laporan ketua audit negara terbaru, Latheefa berkata, agensi itu sedang meneliti beberapa kes membabitkan rasuah.

Bagaimanapun, katanya, bukan semua kes mengandungi unsur jenayah.

“Sesetengah kes boleh diteliti untuk tindakan disiplin manakala yang lain untuk menghentikan ketirisan. Tetapi, ada kes dengan unsur jenayah yang kami sedang siasat.”

Latheefa percaya kes berkaitan rasuah berkurangan sejak kerajaan baru mengambil alih.

Katanya, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad masih menyokong usaha anti-rasuah.

“Hanya ada beberapa kes besar membabitkan jumlah dana banyak dan personaliti besar. Nama-nama ini disiarkan dalam media sehingga menjadi sensasi.

“Ini menyebabkan persepsi rasuah berlaku setiap hari, tetapi kadangkala ia sebenarnya adalah kes sama.

“Kita tidak kata ia bersih sepenuhnya – ada aduan yang diterima. Tetapi, ia bukannya berleluasa seperti dahulu.”