Tunku Azizah kongsi resepi ‘kek permaisuri’ dengan penghuni Rumah Sinar Harapan

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah (empat, kanan) berkenan menyambut ulang tahun kelahiran anakanda baginda Tengku Puteri Raja Tengku Afzan Aminah Hafizatullah Sultan Abdullah ketika mengadakan lawatan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong 2019 di Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli, Cheras hari ini. (Gambar Bernama)

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa kagum dengan kemahiran yang ditunjukkan penghuni Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli yang terletak di Cheras.

Baginda yang meluangkan masa hampir tiga jam menyantuni penghuni institusi pemulihan itu sempat bertanya khabar dan memuji pelbagai kerja tangan yang dihasilkan 70 penghuni terdiri daripada mereka yang mempunyai masalah pembelajaran.

“Cantiknya, pandai kamu (penghuni) buat kuih.

“Nanti mak (Tunku Azizah) datang lagi, mak ajar buat kek permaisuri pula,” titah Tunku Azizah kepada seorang daripada penghuni di Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli, dalam lawatan baginda hari ini.

Tidak lokek berkongsi ilmu, Tunku Azizah yang cukup terkenal seorang yang gemar memasak secara ringkas turut berkongsi resepi kek permaisuri kepada penghuni dan tenaga pengajar di pusat itu.

“Kita letak tepung, butter, letak susu sikit untuk moist, blackcurrent dalam dua auns cukup, tetapi saya suka lebih…kemudian letak dalam cup kecil-kecil.

“Memang sedap dimakan. Tak payah icing, kalau nak letak juga satu cukup. Lepas itu jual nama saya,” titah baginda mesra, disambut tawa mereka yang hadir.

Kunjungan Raja Permaisuri Agong merupakan sebahagian program yang diatur bersempena sambutan ulang tahun rasmi Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong 2019 yang disambut Isnin lepas.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melihat penghuni Taman Sinar Harapan Ziyad Zolkefli melakukan aktiviti menjahit. (Gambar Bernama)

Melihat pula seorang penghuni menjahit apron, baginda yang terkenal dengan sikap penyayang dan peramah itu, memuji kekemasan yang dihasilkan remaja istimewa tersebut.

Malah, Tunku Azizah kemudiannya berkenan memakai apron tersebut dan membawanya pulang bersama.

Semasa berangkat mencemar duli itu, Raja Permaisuri Agong turut berkenan menghasilkan kerja tangan bersama-sama para penghuni di institut itu termasuk menyediakan sampul surat dan menghias kek.

Turut berangkat Tengku Puteri Raja Tengku Afzan Aminah Hafizatullah Sultan Abdullah (tiga, kanan). Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh (tiga, kiri). (Gambar Bernama)

Turut berangkat Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah Sultan Abdullah. Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Dalam lawatan itu, Tunku Azizah turut berkenan menyampaikan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada institusi itu.

Institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat itu menempatkan 70 penghuni berumur antara 16-25 tahun.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]