UK benarkan pelajar asing menetap 2 tahun selepas tamat pengajian

LONDON: Pelajar antarabangsa boleh menetap di Britain untuk mencari kerja selama 2 tahun selepas tamat pengajian bawah peraturan baru yang diumumkan kerajaan hari ini.

Bawah peraturan sedia ada, diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Theresa May semasa beliau menjadi menteri dalam negeri, pelajar hanya dibenarkan menetap selama 4 bulan selepas tamat pengajian ijazah.

“Sumbangan penting pelajar antarabangsa kepada negara dan universiti-universiti kita adalah budaya dan ekonomi. Keberadaan mereka memberi manfaat kepada Britain,” kata Setiausaha Pendidikan Gavin Williamson dalam kenyataan.

“Universiti-universiti kita berkembang maju sebagai institusi global yang terbuka. Memperkenalkan laluan siswazah memastikan sektor pendidikan tinggi kita terus menarik bakat-bakat terbaik dari serata dunia ke Britain yang sejagat.”

Kerajaan berkata laluan siswazah baru itu akan membolehkan pelajar bekerja, atau mencari kerja, pada setiap tahap kemahiran.

Mereka kemudian boleh menukar kepada visa pekerja mahir jika mereka temui kerja yang menemuhi syarat.

Tiada had ke atas jumlah pelajar yang boleh memohon laluan siswazah itu, katanya.

Terdapat kira-kira 450,000 pelajar antarabangsa setahun yang mengaji di Britain.

Ia akan terpakai kepada mereka yang bermula pada jurusan tahap siswazah atau ke atas bermula tahun depan dalam sebarang subjek di universiti-universiti United Kingdom atau penyedia pendidikan tinggi yang boleh dipercayai yang mempunyai rekod prestasi terbukti dalam mengesahkan pemeriksaan imigresen.