Ah Long guna kad ATM peminjam untuk aktiviti ‘Macau Scam’

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Roslan Bek Ahmad (kanan) menunjukkan kad ATM bank yang dirampas pihaknya.

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan taktik terbaru yang digunakan pemberi pinjaman wang tanpa lesen “Ah Long” yang menyalahgunakan kad bank peminjam.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Roslan Bek Ahmad berkata, Ah Long mengarahkan setiap mangsa membuka akaun bank sebagai syarat memberi pinjaman dan menyerahkan kepada Ah Long untuk kemudahan potongan bulanan.

“Ah Long itu pula gunakan kad bank mangsa untuk aktiviti lain, seperti pengubahan wang haram dan Macau Scam.

“Mereka tidak kenakan kadar bunga pinjaman tinggi kerana matlamat utamanya untuk gunakan akaun bank mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Bertindak atas maklumat yang dilaporkan seorang mangsa, polis menerusi operasi pada 10 September lalu membuat serbuan, tangkapan dan rampasan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

“Seramai 7 lelaki warganegara terlibat dalam sindiket ini ditangkap. Sebanyak 72 keping kad ATM asli pelbagai bank dan 58 keping simkad pelbagai talian berjaya dirampas.

“Kita percaya kad ATM itu digunakan untuk aktiviti penipuan. Berdasarkan siasatan awal polis, sebanyak RM299,570 kerugian yang dialami mangsa-mangsa dalam 11 kes penipuan yang dilaporkan setakat ini,” katanya.

Siasatan polis dikendalikan bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu dan jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda.

Polis juga berjaya mendapatkan perintah tahanan reman terhadap semua suspek bermula 10 September lepas hingga 13 September ini.

Roslan berkata, mangsa hanya menyedari kad banknya digunakan untuk tujuan lain sewaktu dimaklumkan pihak bank bahawa akaunnya disekat, selepas pinjaman dibuat daripada Ah Long berkenaan selesai.

“Mangsa berurusan untuk mendapatkan pinjaman RM1,000. Kemudian mangsa diarah membuka akaun bank dan menyerahkan kepada suspek dengan alasan akaun bank akan digunakan untuk kemudahan potongan bayaran balik pinjaman.

“Sebab itu kita menyarankan orang ramai tidak sewenang-wenangnya mendedahkan maklumat diri khususnya dalam urusan pendaftaran talian telefon dan akaun bank kepada pihak ketiga,” katanya.