Bekas duta ajak bukan Melayu sertai kempen utamakan produk Bumi

Bekas duta, Dennis Ignatius.

PETALING JAYA: Seorang bekas duta menyeru masyarakat bukan Melayu turut menyertai kempen mengutamakan perkhidmatan dan produk Bumiputera ketika tindakan tersebut dikatakan semakin ‘menonjol’ berikutan peranan sesetengah ahli politik yang dilihat mengeruhkan hubungan kaum.

Dennis Ignatius berkata, daripada membiarkan keadaan melarat menjadi perseteruan antara kaum, jawapan terbaik kepada kempen itu ialah menghulurkan salam persaudaraan dan menerima perbezaan secara matang.

“Marilah kita jadikan ia kempen memakmurkan saudara-saudara Melayu-Islam kita. Pihak tertentu mahu pecahkan kita; marilah kita gunakan ia untuk membina jambatan dengan menawarkan bisanya,” katanya.

Dennis berkata tiada orang boleh menafikan Malaysia kini berpecah-belah, dihurung syak dan ketakutan, balas-membalas tanpa sebab serta enggan memahami satu sama lain, dan bukannya mencari persefahaman demi manfaat bersama.

“Naratif kebangsaan kita sekarang ini semuanya mengenai siapa ancam siapa dan bagaimana mahu membalas,” kata beliau dalam artikel terbarunya yang disiarkan FMT.

Dennis berkata masyarakat Melayu dan bukan Melayu sebenarnya prihatin pada perkara berkaitan, seperti kedudukan Islam dan Islamisasi, pengambilan pekerja di sektor awam dan swasta, pendidikan satu aliran dan sekolah kebangsaan yang tidak mengalu-alukan kepelbagaian.

Masyarakat sama juga sangat ketakutan, kata beliau sambil menambah, “takut pada Islam dan Kristian, takut pada Sunni dan Syiah, takut pada Melayu dan Cina – hinggakan setiap kali lalang berdesir ada saja orang jerit ‘ular’ lalu kita cepat-cepat mengasah lidah.”

“Jika kita berterusan begini, lambat-laun kita akan berdepan dengan kesan yang dahsyat,” tambahnya.

Dennis berkata sudah terlalu lama masyarakat membiarkan ahli-ahli politik bermoral buruk dan tidak berprinsip mencemarkan politik negara dengan idea-idea melampau, memecahbelahkan dan perkauman yang melaga-lagakan sesama rakyat.

Masyarakat juga membiarkan naratif ahli-ahli politik mengambil tempat hakikat kehidupan harian rakyat iaitu semua orang walau apapun keturunan dan kepercayaan mahu perkara sama – pekerjaan yang elok, keselamatan, keadilan, hormat-menghormati, toleransi, dan hak untuk hidup aman damai.

“Siapa yang untung daripada perpecahan ini, daripada percakaran antara kaum dan agama yang kerap ini? Kebanyakannya ahli politik dan kroni-kroni mereka. Mereka bertambah kaya ketika rakyat bergelut mencukupkan perbelanjaan,” katanya.

“Mereka bertekak mengenai erti kemiskinan sambil menikmati kemewahan yang diangan-angankan orang kebanyakan,” katanya.

Sehubungan itu kata beliau, kempen memboikot atau mengemudiankan perniagaan dan produk milik bukan Bumiputera yang sedang berjalan sekarang ini cepat sekali bertukar buruk apabila kedua-dua pihak saling memaki hamun dan hina-menghina.

“Kelakuan yang bodoh dan kesudahannya sia-sia,” katanya.