Cadang jual rumah kepada warga China, HK, Zuraida digesa letak jawatan

Naib Ketua Wanita PKR Faizah Ariffin berkata, cadangan menarik pembeli asing membeli rumah mewah tidak terjual adalah kotor dan mengkhianati rakyat Malaysia. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Naib Ketua Wanita PKR Faizah Ariffin menggesa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin meletakkan jawatannya susulan cadangannya menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual dalam negara.

Naib Ketua Wanita PKR Faizah Ariffin berkata, cadangan Zuraida untuk menarik pembeli dari luar negara membeli rumah mewah yang tidak terjual merupakan cadangan yang dilihat kotor dan khianat kepada rakyat Malaysia.

“Dahulu kami berjuang pertahankan hak rakyat Malaysia. Hari ini menteri hendak jual harta rakyat Malaysia kepada China dan Hong Kong.

“Kalau tidak boleh jadi garam yang memasinkan ikan, jangan jadi lalat yang membusukkan ikan. Saya gesa menteri perumahan meletakkan jawatannya,” katanya di Facebooknya, hari ini.

Ini bukan kali pertama Faizah mengeluarkan kenyataan menggesa Zuraida berundur. Pada Jun lepas beliau pernah menyarankan naib presiden PKR itu meninggalkan parti.

Ini sekiranya Zuraida tidak menghormati keputusan pucuk pimpinan berkaitan isu video seks gay melibatkan Haziq Aziz yang pada ketika itu diminta mengeluarkan surat tunjuk sebab sebelum dipecat dari PKR.

Zuraida sebelum ini berkata, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk pembeli dari China dan Hong Kong adalah bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tidak terjual dan masih masih lagi di peringkat cadangan.

Menurutnya, kempen yang terhad untuk rumah mewah tidak terjual itu baru dibincangkan kementeriannya dan cadangan kempen itu merupakan maklum balas awal hasil lawatannya ke Hong Kong dan China baru-baru ini.

Zuraida berkata, HOC yang mahu dibuka kepada pembeli luar negara juga adalah bagi rumah yang berharga lebih RM1 juta.

Menurut Zuraida, pada ketika ini kementerian masih menunggu maklum balas orang ramai dan pihaknya akan meneliti garis panduan sementara satu mekanisme akan dibincangkan dengan Kementerian Pelancongan, seni dan Budaya serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengawal selia permohonan rumah ke-2 daripada warga asing.