Cendekiawan Saudi ditahan selepas kritik konsert muzik Putera Mahkota

Sheikh Omar Al-Muqbil ditahan pihak berkuasa Arab Saudi selepas mengkritik dasar Putera Mahkota Mohammed bin Salman. (Gambar Twitter)

PETALING JAYA: Pihak berkuasa Arab Saudi menahan seorang cendekiawan selepas didakwa mengkritik dasar Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang mahu mengadakan konsert muzik antarabangsa di negara itu.

Kumpulan hak asasi manusia Prisoners of Conscience dilaporkan berkata Sheikh Omar Al-Muqbil, seorang profesor undang-undang Islam di Universiti Qassim, ditahan selepas mengutuk dasar Pihak Berkuasa Hiburan Umum (GEA), mengatakan ia mengancam budaya kerajaan.

Dalam satu video, Al-Muqbil menuduh GEA “memadamkan identiti asal masyarakat”.

“Ini adalah kesinambungan penahanan sewenang-wenangnya yang berlaku dalam kerajaan sepanjang 2 tahun yang lalu, yang bertujuan menyasarkan para cendekiawan, sheikh dan free thinker,” kata kumpulan itu memetik laporan portal Al-Araby.

Tahun lalu, beberapa bintang Barat berprofil tinggi termasuk Mariah Carey, 50 Cent, Janet Jackson dan Sean Paul mengadakan konsert di Arab Saudi sebagai sebahagian dasar “liberalisasi” yang dibawa Mohammed, selain membawa masuk pawagam baru, konsert dan sukan extravaganza.

Mei lalu, 3 ulama terkenal Saudi yang didakwa atas pelbagai tuduhan “keganasan” dijatuhi hukuman mati selepas Ramadan.

Ketiga-tiga mereka ialah Sheikh Salman al-Odah yang terkenal dengan pandangan progresif mengenai syariah dan homoseksual; ahli akademik dan juga pengarang, Awad al-Qarni serta Ali al-Omari yang merupakan penyiar terkenal.

Salman ditahan pada September 2017 kerana didakwa mempersoalkan pemerintahan beraja mutlak di negara itu.

Beliau yang mempunyai 14 juta pengikut Twitter, pernah dipenjarakan dari 1994 hingga 1999 kerana menyokong perubahan politik.

Antara kiriman Twitter terakhirnya ialah mengalu-alukan usaha menyelesaikan pertikaian antara Qatar dan 4 negara Arab termasuk Arab Saudi.

Manakala Awad yang juga berpengaruh di media sosial dengan 2.2 juta pengikut Twitter, ditahan kerana menyokong sebarang langkah menyelesaikan permusuhan dengan Qatar.