Dr M sertai ahli PPBM sambut ulang tahun ke-3 parti dengan majlis doa selamat

Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad.

SHAH ALAM: Pengerusi PPBM yang juga Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menyertai ratusan ahli parti itu dalam majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan ulang tahun ke-3 penubuhan PPBM.

Majlis bacaan Yasin dan doa selamat yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, turut disertai orang awam.

Mahathir tiba di masjid berkenaan pada kira-kira pukul 7.00 petang disambut oleh Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin merangkap menteri dalam negeri, diiringi Timbalan Presiden PPBM yang juga Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir.

Majlis dimulakan dengan salat Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh imam masjid berkenaan, Sheikh Abdul Karim Omar Al-Makki, dan diikuti bacaan Yasin serta doa selamat, diakhiri dengan salat Isyak.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah naib presiden PPBM merangkap pengerusi PPBM Selangor Abdul Rashid Ansari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Mahathir kemudiannya menyertai acara sambutan ulang tahun ke-3 PPBM iaitu jamuan makan malam dan ucapan pemimpin parti di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, berdekatan masjid itu.