Fifa lawat Iran selepas peminat bola sepak wanita bakar diri

Sahar Khodayari atau ‘Blue Girl’ membakar dirinya di luar mahkamah selepas dia ditahan kerana menghadiri perlawanan bola dengan menyamar sebagai lelaki. (Gambar Twitter)

MANCHESTER: Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) akan melawat Iran selepas kematian peminat bola sepak wanita yang membakar dirinya sebagai protes ketika dia ditahan kerana menghadiri 1 perlawanan sukan itu baru-baru ini.

Sahar Khodayari, yang dikenali Blue Girl kerana warna jersi pasukan kegemarannya, Esteghlal, meninggal dunia di hospital pada Isnin selepas membakar dirinya di luar mahkamah di mana dia bimbang dipenjara 6 bulan setelah menghadiri perlawanan itu dengan menyamar sebagai lelaki.

Walaupun wanita asing dibenarkan menonton perlawanan bola sepak dengan akses terhad, wanita Iran diharam dari memasuki stadium ketika perlawanan pasukan lelaki yang diamalkan sejak revolusi Islam 1979.

Jurucakap Fifa memberitahu Reuters pada Rabu pertemuan dengan pegawai bola sepak Iran yang dijangka dalam 2 minggu akan dating sebahagian daripada persediaan untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia Iran – mereka akan berdepan dengan Kemboja di tempat sendiri pada 10 Oktober – dan tiada tindak balas khusus terhadap kematian Khodayari.

Namun pegawai FIFA akan menyemak persiapan yang dibuat oleh FA Iran untuk memberikan akses kepada wanita pada perlawanan 10 Oktober itu.

Presiden Fifa, Gianni Infantino sebelum ini mendesak pihak berkuasa Iran mengambil “langkah konkrit” untuk membenarkan wanita Iran dan asing menyaksikan perlawanan di stadium.

Kematian Khodayari menyebabkan kemarahan yang meluas di Iran dan di peringkat antarabangsa serta terdapat gesaan di media sosial supaya Persekutuan Bola Sepak Iran digantung atau diharamkan oleh Fifa.

Pemuzik popular Iran, Arash Sobhani, adalah antara mereka yang menggunakan media sosial untuk memprotes dan memberitahu Reuters bahawa Infantino perlu mengambil tindakan.

“Dia perlu bertindak dan buat apa yang betul. Haramkan persekutuan Iran sehingga mereka membenarkan semua wanita Iran pergi ke stadium. Mereka sepatutnya sama dengan lelaki,” katanya.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, Fifa menyampaikan ucapan takziah dan berkata ia mengulangi “gesaan kami terhadap pihak berkuasa Iran untuk memastikan kebebasan dan keselamatan mana-mana wanita yang terlibat dalam perjuangan sah ini untuk menamatkan larangan memasuki stadium bagi wanita di Iran.”